Terkejut tahu gaji pensyarah universiti boleh cecah belasan ribu ringgit sebulan

Oleh KIM SYAZIE

Perkongsian seorang pengguna media sosial secara tidak sengaja menjadi perhatian ramai selepas berkongsi paparan julat pendapatan bagi jawatan pensyarah universiti.

Paparan itu dimuat naik selepas seorang individu bertanya berapa sebenarnya jumlah pendapatan seorang pensyarah, adakah benar gaji yang diterima adalah lumayan.

Dalam paparan dikongsikan, gaji pensyarah universiti (gred DS13) di sebuah universiti awam dianggarkan berada dalam lingkungan RM6,210 hingga RM14,370 sebulan, tidak termasuk elaun tambahan seperti imbuhan tetap, bantuan sara hidup dan insentif tertentu.

Angka itu sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi, dengan ada yang menganggap kerjaya pensyarah sebagai antara pekerjaan berpendapatan tinggi dan stabil dalam sektor awam.

Namun di sebalik angka yang dilihat “selesa” di atas kertas, realiti sebenar kerjaya itu jauh lebih mencabar daripada tanggapan umum.

Seorang pensyarah bukan sekadar mengajar di bilik kuliah beberapa jam sehari, sebaliknya turut memikul tanggungjawab besar dalam bidang penyelidikan, penerbitan akademik serta pembangunan pelajar.

Tekanan untuk menerbitkan jurnal di peringkat antarabangsa, memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) yang ketat serta bersaing mendapatkan geran penyelidikan antara cabaran utama yang perlu dihadapi.

Selain itu, mereka juga perlu membimbing pelajar, menyelia tesis, menghadiri mesyuarat akademik dan terlibat dalam pelbagai program universiti, yang sering kali memerlukan komitmen di luar waktu kerja biasa.

Hakikatnya, beban kerja pensyarah tidak terhad kepada waktu pejabat, malah ramai dalam kalangan mereka terpaksa mengorbankan masa peribadi, termasuk malam dan hujung minggu, demi memenuhi tuntutan kerjaya.

Baca juga: Penduduk naik angin, tengah malam buta bakar mercun ambil gambar kahwin