Lambat bagi duit bulanan pada ibu, lelaki terluka dilabel anak derhaka dan lupa daratan

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu perkongsian tentang penyesalan seorang lelaki bergelar anak yang bersikap terlalu terbuka mengenai jumlah pendapatan bulanan diterimanya kepada ahli keluarga.

Tindakan lelaki itu telah menyebabkan ahli keluarganya bergantung harapan kepadanya berhubung perbelanjaan kewangan keluarga terutamanya di dalam menampung kehidupan ibunya di kampung.

Mulanya langsung tidak berkira, lelaki itu bagaimanapun terkejut apabila layanan dari ahli keluarganya tiba-tiba berubah sekelip mata apabila terlambat menyerahkan wang bulanan kepada ibunya.

Perkongsian tersebut dimuat naik oleh isteri kepada lelaki berkenaan di platform media sosial tanpa mendedahkan identiti sebenar mereka sebelum dikongsikan semula di aplikasi TikTok.

“Suami saya pernah cerita, dia pernah buat satu kesilapan besar dalam hidupnya sewaktu mula bekerja dahulu. Dia beritahu keluarga dapat berapa gaji setiap bulan. Selepas mereka tahu, semuanya nak menempel duit suami.

“Kalau tak bagi, mereka cakap suami lupa daratan. Pernah sekali itu, suami terlambat beri mak dia duit bulanan. Mak terus beritahu abang sulung yang suami tak berikan duit untuk bulan itu. Abang dia terus telefon suami.

“Maki hamun, cakap sudah sombong dan lupa siapa yang besarkan dia. Cakap suami anak derhaka sebab abaikan mak di kampung. Suami diam sahaja. Selepas itu dia tak hubungi semua ahli keluarga termasuk mak,” katanya.

Selepas dua bulan kejadian itu berlaku, ibu kepada lelaki terbabit menghantar pesanan melalui aplikasi Whatsapp hanya bertanyakan mengenai duit bulanan yang sudah tidak diterimanya.

Pesanan tersebut juga tidak dibalas sehinggalah ibunya mengirimkan pelbagai hadith berkaitan tanggungjawab dan anak derhaka yang mana perkara tersebut semakin membuatkan lelaki itu tawar hati.

“Suami memang tak balas satu pun mesej tersebut. Sekali abang sulung dia telefon, merayu untuk tolong keluarga di kampung. Susah sebab abang dia beri mak duit RM100 sahaja sebulan. Duit yang suami beri sebelum ini banyak.

“Sampai dapat tampung duit sekolah adik suami dan bil utiliti rumah di kampung. Suami tak balas juga. Setahun berlalu, mak dia hantar Whatsapp minta maaf sebab tak sabar masa itu. Tak tanya pun kenapa hantar duit lambat.

“Tak tanya jika anaknya ada masalah. Terus cerita kepada abang sulung, suruh marah suami. Biar cepat hantar duit. Itu yang suami tunggu sebenarnya, perkataan maaf. Selama ini dia berkorban tetapi apabila lambat beri duit dimaki dan disindir macam buat dosa besar,” kongsinya.

Menurut wanita terbabit, suaminya kembali mengirimkan duit bulanan selepas ibunya meminta maaf namun tetap tidak pulang ke kampung berikutan masih terasa dengan caci maki dilemparkan sebelum ini.

Lelaki mengakui kecewa dan hancur hatinya namun tidak menyimpan dendam selain sempat berpesan kepada isterinya untuk memberikan wang seikhlasnya kepada ahli keluarga tanpa mendedahkan jumlah pendapatan.

Baca juga: “Buat rugi duit” – Ameng Spring nasihat orang ramai jauhi dadah, arak