Terlanjur kata sepanjang bergelar MB Kedah, Sanusi mohon maaf di hadapan Anwar

Oleh WAN SITI AMINAH

Sempena Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI peringkat Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selaku Menteri Besar negeri itu tampil memohon maaf secara terbuka di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa menteri Kabinet.

Permohonan maaf dibuat bagi pihak dirinya dan kerajaan negeri selama berkhidmat sebagai Menteri Besar dan atas kapasiti politik sekiranya ada memberi ucapan yang kurang sesuai dalam konteks hubungan sesama manusia (hablumminannas).

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau adalah manusia biasa yang tidak maksum dan sebagai insan lemah, ketelanjuran serta kesilapan pastinya ada dalam diri masing-masing, lapor Sinar Harian.

Beliau berucap sedemikian sempena majlis yang dilangsungkan di Tasik Darulaman Jitra, Kedah pada Sabtu di mana ia turut dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“Sebagai individu, pastinya ada perbezaan sikap dan watak pada diri masing-masing. Inilah yang membezakan antara satu dengan yang lain.

“Apabila ditakdirkan kita diangkat menjadi pemimpin, perbezaan sikap dan watak itu haruslah ditangani dengan nilai yang adil dan saksama,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Menurutnya, perjuangan pihaknya di peringkat negeri sudah tentu untuk rakyat dan negeri selaras dengan sumpah dan amanat yang dipikul selaras dengan konsep federalisme dan sistem demokrasi.

Namun kepentingan rakyat harus mengatasi keghairahan untuk mengekalkan kuasa kerana masalah akan berlaku apabila perbezaan politik dicampur adukkan dengan tanggungjawab dalam pentadbiran.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu, perbezaan berkenaan harus ditangani dengan pendekatan berdasarkan topi yang dipakai, medan berbeza dan tanggungjawab yang sedang dilaksanakan.

“Apa-apa yang bersifat politik sepatutnya hanya dibawa ke medan politik manakala yang bersifat pentadbiran dan pemerintahan, harus dijalankan di atas landasannya.

“Ini akan memastikan kita sebagai ahli politik yang diangkat menjadi pemimpin untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada pada semua keadaan dan situasi termasuklah ketika menyuarakan pandangan dan permintaan bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan,” ulasnya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi mewakili pentadbiran negeri memaklumkan pihaknya sentiasa mengharapkan agar Kedah yang bertuah ini akan sentiasa diberikan perhatian dan tidak dipinggirkan.

Pertemuan pada malam sambutan itu turut dihargai Muhammad Sanusi yang mana ia momen cukup bermakna untuk menyatukan hati dalam satu berkas perjuangan, meminimumkan perbezaan untuk seiring melangkah dalam membela nasib rakyat.

“Semoga pertemuan dalam bulan Syawal yang mulia ini akan menjadi asbab untuk kita mulakan lembaran baharu sama-sama melangkah dengan hati yang bersih, ikhlas dan bertanggungjawab dalam usaha membela nasib rakyat agar tidak tambah terbeban dengan cabaran semasa.” Tambahnya.

Muhammad Sanusi dalam majlis itu turut melahirkan harapan pelan pembangunan yang telah disusun di negeri tersebut termasuk Kedah Aerotropolis yang memerlukan kelulusan Kerajaan Persekutuan akan segera diluluskan.

Baca juga: Bahang melampau, lelaki dari Pantai Timur ini buat eksperimen goreng telur bawah cahaya matahari