Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan bahawa penjualan dan pembelian minyak petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing kini dilarang sepenuhnya bermula hari ini.
Menerusi kenyataan rasmi, KPDN memaklumkan bahawa larangan tersebut melibatkan kedua-dua pihak iaitu pemilik atau pemandu kenderaan asing serta pengusaha stesen minyak yang didapati menjual bahan api berkenaan.
Menurut kementerian itu, langkah berkenaan dilaksanakan bagi memperkukuh usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan subsidi bahan api, khususnya di kawasan sempadan negara.
“Penguatkuasaan akan diperkasakan melalui pelaksanaan Ops TIRIS 4.0 (Bersepadu) bagi memastikan pematuhan peraturan serta membanteras ketirisan subsidi,” menurut kenyataan itu.
KPDN turut menegaskan bahawa sebarang pelanggaran terhadap peraturan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam masa sama, orang ramai digesa untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan di stesen minyak.
“Kami memerlukan kerjasama orang ramai sebagai ‘mata dan telinga’ dalam membantu membanteras penyelewengan subsidi bahan api,” menurut kenyataan itu lagi.
Baca juga: Pelajar SPM sedih campur gembira dapat 8A, arwah ibu tak sempat tengok keputusan