Tiada surau, Rita Rudaini kongsi pengalaman solat tepi ATM di R&R London – “Orang sini..”

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Rita Rudaini kembali mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas memuat naik gambar anak lelakinya ketika menunaikan solat di hadapan mesin pengeluaran automatik (ATM) sewaktu bercuti di kota London.

Hal ini kerana pelakon terbabit bukan hanya berkongsikan pengalaman melakukan ibadah di tempat terbuka malah turut bercerita mengenai adab dan toleransi masyarakat antarabangsa terhadap agama lain.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Instagram, Rita memberitahu bahawa perjalanannya bersama anak-anak mengambil masa lebih dari dua jam menyebabkan mereka berhenti dahulu di Rehat dan Rawat (R&R).

Tujuan mereka singgah di R&R berkenaan adalah untuk mendirikan solat Subuh namun sayangnya tiada surau disediakan lokasi tersebut sebelum Rita mencari tempat yang sesuai dan bersih untuk melakukan ibadah.

“Perjalanan hari ini dua jam setengah. Singgah di R&R nak solat Subuh. Dekat sini tiada surau. Tetapi Mommy (Rita) cari tempat yang baik punya. Tepi mesin ATM. Sewaktu Mommy solat, kedai depan itu mula beroperasi.

“Mereka buka kedai. Orang-orang di sini senyum sahaja. Mereka tak marah ataupun nak pandang sinis. Begitulah adab. Tidak kira apa pun agama, berbuat baiklah kepada semua manusia,” katanya dalam perkongsian itu.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Instagram meluahkan rasa kagum mereka kerana pelakon berusia 50 itu berjaya mendidik dua anak lelakinya walaupun bergelar ibu tunggal.

Orang ramai juga meninggalkan kata-kata pujian di atas sikap anak-beranak berkenaan kerana tidak lupa untuk menunaikan kewajipan walaupun berada di negara orang yang tiada kemudahan seperti surau atau masjid.

Baca juga: Tuan rumah murah hati belanja sewa satu bulan