Pemuda Amanah Negeri Perak mencabar Ahli-ahli Parlimen Pas menarik diri dari kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai tanda bantahan kepada kenaikan cabutan khas nombor ekor.
Pengarah Komunikasinya, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar berkata, tidak guna jika Pas melaungkan Islam sebagai dasar perjuangan, tetapi pada masa yang sama membenarkan kerajaan menambah jumlah cabutan khas kepada 22 kali.
Bagaimanapun beliau berpandangan bahawa bantahan Ahli-ahli Parlimen Pas tentang kenaikan cabutan nombor ekor itu hanyalah sebuah lelucon basi yang tiada nilainya.
“Bantahan-bantahan daripada Ahli Parlimen kerajaan itu hanyalah sekadar mengisi ‘hansard’ Parlimen sedangkan ia sudah diluluskan pada penghujung 2020 dan kini hampir separuh ‘cabutan khas’ sudah dibuat.
“Sepatutnya sebagai Ahli Parlimen yang mewakili kerajaan, bantahan awal perlu dilakukan oleh wakil-wakil mereka yang dilantik dalam Jemaah Menteri khususnya sebelum sesuatu keputusan atau dasar itu dibuat.
“Malangnya hanya selepas keputusan dibuat barulah Ahli-ahli Parlimen Pas menggeletek seperti beruk dapat bunga. Itupun selepas Ahli Parlimen AMANAH membangkitkan isu tersebut dalam sidang Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pada 20 September, kerajaan mengesahkan mereka memberi kebenaran untuk meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan menjadi 22 kali sepanjang tahun ini.
Hal itu dinyatakan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Seri Mahfuz Omar.
Pas beberapa kali disindir pihak pembangkang kerana sikap parti Islam itu yang hanya berdiam diri.
Hanya selepas itu, Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari tampil menyatakan bantahannya di Dewan Rakyat terhadap kenaikan nombor ekor dan meminta agar kerajaan menarik semula kebenaran itu.
Sementara itu, Mohd Ikhmal menambah, situasi tersebut sebenarnya menampakkan bahawa Ahli Parlimen Pas tidak faham fungsi mereka sebagai Ahl Parlimen kerajaan.
Beliau juga mengibaratkan tindakan Ahli Parlimen Pas ini seperti kokok berderai-derai ekor bergelumang tahi.