Tiga lelaki sedekah tulang ayam campur nasi, Firdaus Wong kecam ‘content’ TikTok biadab

Oleh MAISARAH AISYA

Bukan semua orang berkemampuan menikmati makanan sihat dan seimbang, namun malangnya, ada pula yang tanpa rasa empati sanggup mengambil kesempatan atas kesempitan hidup orang lain.

Tular satu video memaparkan tiga lelaki dipercayai berbangsa Cina yang merakam ‘content’ di sebuah rangkaian restoran makanan segera terkenal.

Dalam video tersebut, tulang-tulang ayam yang telah dimakan isinya dibungkus bersama nasi sebelum diberikan kepada seorang pengemis jalanan.

Tindakan mereka diselindung dengan alasan kononnya mahu bersedekah, namun apa yang jelas perbuatan itu lebih menjatuhkan maruah dan menghina golongan susah atas nama kandungan media sosial.

Tindakan biadab tiga lelaki itu bukan sahaja mencetuskan kemarahan orang ramai, malah turut mendapat perhatian pendakwah bebas, Firdaus Wong.

Dia dilihat lantang mengutuk perbuatan tersebut yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan dan memalukan, apatah lagi dilakukan atas nama ‘content’.

“Selepas ini, minta maaf, selesai.

“Alhamdulilah Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menghina orang miskin tetapi Islam mengajarkan umatnya untuk membantu orang miskin.

“Ini hanya kebiadaban tiga remaja ini bukan keseluruhan kaum Cina. Inilah apa yang berlaku bila menyalahgunakan akal yang Allah kurniakan demi konten,” kongsinya di TikTok.

Baca juga: Runsing duit belanja sehari RM500, posting ‘humble brag’ wanita ini dapat jawapan sinis warganet