Tiga tahun berdiam diri, suami Intan Najuwa menang kes saman RM1.3 juta terhadap Rizman Ruzaini

Oleh MAISARAH AISYA

Pelakon Datin Intan Najuwa mengejutkan ramai apabila tampil mendedahkan bahawa suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman, berjaya memenangi kes saman terhadap jenama fesyen tersohor, Rizman Ruzaini.

Ini adalah berkaitan tuntutan bayaran semula pinjaman berjumlah RM1.3 juta yang akhirnya memihak kepada pihak mereka.

Kenyataan rasmi dibuat Intan menerusi media sosial selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penghakiman memihak kepada mereka berhubung tuntutan pinjaman berkenaan.

Menerusi dokumen penghakiman bertarikh 16 Disember 2025, mahkamah mengarahkan pihak defendan membayar sejumlah RM1.3 juta kepada plaintif selewat-lewatnya pada 15 Januari 2026.

Kadar faedah sebanyak lima peratus setahun dikenakan ke atas jumlah berkenaan bermula 16 Januari 2026 sehingga penyelesaian penuh, termasuk kos mahkamah berjumlah RM15,000.

Dalam pada itu, Intan memaklumkan dia dan suami kini bersuara secara terbuka berlandaskan keputusan mahkamah yang sah.

“Setelah hampir tiga tahun memilih untuk berdiam diri, suami dan saya kini tampil secara terbuka berdasarkan keputusan mahkamah yang telah diputuskan.

“Tanpa melibatkan mana-mana pihak atau pereka fesyen lain, kenyataan ini dibuat khusus bagi menyeru Pereka Fesyen Rizman Ruzaini untuk melaksanakan pembayaran semula pinjaman seperti yang telah diarahkan oleh Mahkamah melalui penghakiman yang telah memihak kepada kami,” ujarnya dalam hantaran di Instagram.

Menurut Intan, kenyataan dibuat secara berfakta dan berhemah selepas menunggu serta menghormati sepenuhnya proses perundangan yang berlangsung.

“Kenyataan ini dibuat secara berfakta dan berhemah, selaras dengan keputusan undang-undang yang sah, selepas kami memilih untuk menunggu dan menghormati proses perundangan sepenuhnya,” kongsinya.

Baca juga: 12 perkara besar diumum PM dalam Perutusan Tahun Baru 2026, yang penting poket rakyat tebal