Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang juga Naib Presiden Pas memberitahu dia setiap hari melakukan senaman orang Melayu dulu-dulu yang digelar ‘Senaman Tua’, selain menjaga aspek pemakanan.
Mohd. Amar, 63, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor berkata, dia akan melakukan beberapa gerakan yang terdapat dalam Senaman Tua setiap kali selesai bersembahyang.
“Senaman ini merupakan warisan orang Melayu dan amat sesuai dengan saya kerana hanya dilakukan secara santai,” dipetik Utusan Online.
Dalam masa sama, Mohd Amar bercadang untuk menganjurkan Karnival Senaman Melayu Tua yang terbesar di Kota Bharu dengan kerjasama Warisan Melayu Khazanah Dunia.
Antara gerakan Senaman Tua ialah Nafas Melayu, Tapak Sembilan, Jengket, Labuh Luar, Labuh Dalam, Temu Tempurung, Tari Inang, Naga Berlabuh, Duduk Pendekar, Geliat Anak Harimau dan Gulung Ekor Naga.