Tok Mat sendiri minta KKM kenakan kompaun, akui kesilapan merokok dalam restoran

Oleh WAN SITI AMINAH

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui telah melakukan kesilapan dengan merokok di sebuah restoran pada Ahad lalu malah meminta pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenakan kompaun ke atas dirinya.

Perkara itu didedahkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi satu hantaran di platform X susulan penularan gambar memaparkan Mohamad atau lebih mesra disapa Tok Mat sedang merokok di kawasan larangan.

Jelas Dr Dzulkefly, pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban juga akan bertemu dengan Tok Mat hari ini untuk tujuan pemberian notis kesalahan dan kompaun atas kesalahan merokok di kawasan larangan iaitu di kedai makan.

“Pejabat Menteri Luar juga telah maklum (kedatangan pegawai). Jujurnya, Datuk Muhammad Hassan sendiri minta KKM isukan kompaun ke atas kesalahan tersebut dan beliau memberitahu saya, kompaun akan dibayar,” katanya dalam hantaran itu.

Terdahulu, tular sekeping gambar di laman media sosial X memaparkan Tok Mat yang juga merupakan Timbalan Presiden UMNO itu sedang merokok di sebuah restoran ketika berbual dengan beberapa individu di premis berkenaan.

Menurut individu yang memuat naik gambar tersebut di akaun X miliknya, kejadian berlaku di sebuah kedai makan terletak di Pekan Rantau, Seremban dan meminta pihak bertanggungjawab memberikan respon.

“Ingatkan kedai makan ini adalah kawasan larangan merokok. Tetapi Menteri Luar Negeri balik kawasan, ‘berasap’ di kedai makan relax (santai) sahaja,” ciapnya dalam hantaran itu.

Ciapan itu kemudian mendapat perhatian Dr. Dzulkefly yang turut memberitahu bahawa tindakan itu menyalahi Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024).

“Setelah Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awan, 2024) berkuatkuasa pada 1 Oktober lalu, saya berpegang kepada prinsip bahawa ‘tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang’.” Ujarnya.

Baca juga: Sewa tertunggak PPR cecah RM20k, MBS cabut pintu tuan rumah