Sudah lama berlakon maka tak terkejut jika ada tempat pengajian mahu mengambil Farid Kamil sebagai tenaga pengajar.
Namun buat pelakon berusia 43 tahun itu, dia sebolehnya mahu menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana di Universiti Malaya (UM) di sini, Mac ini jika permohonan diterima.
Langkah melanjutkan pengajian menjadi sebahagian daripada sasaranFarid pada tahun 2025 lapor Berita Harian.
Bagaimanapun dia enggan mendedahkan bidang pengajian yang bakal diambil dan akan maklum ia sebaik statusnya sebagai pelajar di pusat pengajian tinggi awam (IPTA) itu disahkan.
“Untuk 2025, saya akan kembali menjadi pelajar. Saya akan meningkatkan pelajaran saya ke peringkat ijazah sarjana dan seterusnya ke peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD).
“Proses untuk melanjutkan pengajian sudah dibuat di mana saya kemukakan permohonan di UM.
“Kalau tiada halangan, saya akan mulakan pengajian Mac ini. Pendaftaran sudah dibuat, tetapi saya perlu rahsiakan dahulu mengenai bidang pengkhususan pengajian yang akan diambil.
“Ini kerana, ia masih lagi dalam permohonan. Sekiranya sudah diterima masuk, saya akan uar-uarkan,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Jelasnya lagi keputusan untuk sambung pengajian adalah selepas menghadiri Program Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM);
Ditanya sebab utama melanjutkan pengajian, Farid mendakwa beroleh inspirasi selepas menghadiri Program Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM), baru-baru ini.
“Dalam program itu, UiTM panggil 100 alumni terbaik sepanjang zaman. Apabila mereka sertai program itu, ada penuntut seusia, lebih berumur dan lebih muda.
“Kebanyakan mereka mempunyai ijazah sarjana dan PhD, tetapi hanya saya sahaja dengan ijazah sarjana muda.
“Selepas balik daripada program itu, saya fikir sudah agak ketinggalan banya perkara dalam hidup yang sepatutnya saya capai lebih awal, namun, saya pilih untuk jadi pelakon profesional terlebih dahulu,” ujarnya.
Pada masa sama dia mengaku telah menolak tawaran untuk jadi tenaga pengajar di sebuah universiti swasta tempatan.
“Saya fikir masih belum mampu untuk memberi ilmu pengetahuan secara spesifik kepada pelajar.
“Pada hemat saya, selagi masih belum ada ijazah sarjana atau PhD, saya tidak fikir kelas itu akan efektif,” tambahnya.
Baca juga: Lain betul sekarang, pelakon filem Tentang Bulan kongsi foto terkini lepas lama tak berlakon