Kejadian ‘kepala air’ yang berlaku di daerah Yan, Gunung Jerai petang semalam mengakibatkan tiga orang terkorban dan empat lagi masih hilang.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superitenden Polis, Shahnaz Akhtar bin Haji ketika dihubungi Malaysia Dateline berkata, ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia semalam telah ditemui dari tiga lokasi yang berbeza iaitu, Kampung Setol, Kilometer 8 Gunung Jerai dan yang terbaru ialah dari Kampung Titi Hayun.
Sementara itu kata beliau, kerja-kerja mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan sehingga ini bagi mencari empat lagi mangsa yang telah dilaporkan hilang sejak semalam.
Hujan yang turun lebat secara berterusan selama lima jam sejak petang semalam telah menyebabkan berlakunya ‘kepala air’ sehingga melibatkan sepuluh buah kampung terjejas teruk.

