Tular aksi tidak senonoh, polis buka kertas siasatan program senaman aerobik

Oleh MALAYSIADATELINE

Tular di media sosial aksi sekumpulan individu melakukan senam aerobik sambil memakai baju sekolah dan bersiaran langsung yang dianggap tidak sopan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya sebelum ini mengesan beberapa gambar dan video berkaitan program tersebut di Facebook.

Menurutnya, penemuan itu dibuat pada jam 11.13 pagi hari ini hasil pemantauan di media sosial lapor Harian Metro.

“Program terbabit diadakan di Dewan Orang Ramai Bukit Badong, Bestari Jaya, Kuala Selangor.

“Semasa berlangsung, terdapat seorang individu bertudung dan berpakaian seragam sekolah tidak memakai kain.

“Manakala seorang lagi hanya memakai seluar ‘legging’,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Jelasnya senaman aerobik atau Zumba itu bertemakan ‘Back To School’ sebelum salah seorang pengikutnya menanggalkan kain sekolah dipakai untuk mudahkan pergerakan.

“Susulan kejadian, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sebelum ini pemilik video sudah membuat video permohonan maaf dan memaklumkan tindakan menanggalkan kain itu dilakukan secara spontan.

Baca juga: Israk Mikraj di Indonesia dirai dengan tarian dan lagu dangdut cetus kritikan