Pelakon terkenal, Intan Najuwa kembali menjadi topik bualan hangat selepas sebulan mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan, Datuk Ahmad Asraf.
Mana tidaknya, suami kepada pelakon utama di dalam drama Kekasih Paksa Rela itu didakwa telah menggunakan gelaran ‘Datuk’ palsu atau tidak diiktiraf.
Tampil menjawab spekulasi, Intan menerusi satu sesi temubual bersama program Melodi mengakui bahawa dirinya enggan mengambil pusing mengenai dakwaan tersebut.
Hal ini kerana, pelakon berusia 26 tahun itu menyifatkan bahawa ‘Datuk’ hanyalah sekadar gelaran yang tidak membawa apa-apa makna terhadap dirinya.
Intan bagaimanapun enggan mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengesahkan atau menyangkal dakwaan bahawa suaminya menggunakan gelaran Datuk palsu.
Menjalani kehidupan berumah tangga seperti ‘orang biasa’, Intan hanya berharap agar para peminat dapat mendoakan kesejahteraannya bersama suami.
“Saya tak pernah pertikaikan. ‘It just a title’ (itu hanya gelaran). Suami tahu saya memang tidak kisah mengenai perkara itu. Orang nak cakap apa, cakap sahajalah. Tapi kita sendiri tahu dan kita diam.
“Mereka (netizen) sentiasa bercakap. Saya tiada nak buktikan apa-apa, tak mahu pertikaikan apa-apa. Siapa yang tahu, tahulah. Kita letak tepilah. Ia cuma gelaran, tak membawa apa-apa pun.
“Saya juga menjalani kehidupan macam orang biasa dengan suami saya. Jadi kami hanya perlukan doa yang baik-baik daripada semua,” katanya.
Mengulas lanjut, pelakon yang mula terkenal menerusi drama Hantu Punya Bos itu mengambil keputusan untuk mengunci mulut kerana tidak mahu memperbesarkan perkara remeh.
“Saya sebenarnya tak mahu membalas ciapan tersebut, tak mahu keruhkan keadaan. Kalau saya balas, perkara itu akan jadi isu besar. Jadi saya memilih untuk berdiam.
“Kalau benda itu betul, betul. Kalau salah, salah. Jika ada komen yang keterlaluan, saya anggap mungkin si penulis sedang mengalami mood yang tidak baik pada hari itu. Saya husnuzon sajalah.” Ulasnya.
Terdahulu, Insan dan pasangannya, usahawan dikenali sebagai Datuk Ahmad Asraf sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz dalam satu majlis pada 18 Ogos lalu.
Majlis tersebut berjaya menyita perhatian kerana Datuk Asraf yang berusia 39 tahun itu menyerahkan mas kahwin berjumlah RM20,000 dan wang hantaran sebanyak RM222,000 kepada Intan.