Tular gambar Beyoncé pakai tudung, kenakan abaya ketika membeli-belah di Qatar

Oleh WAN SITI AMINAH

Penampilan penyanyi ternama antarabangsa, Beyoncé ketika berada di Qatar telah menjadi topik perbincangan hangat terutama di kalangan peminatnya di platform media sosial baru-baru ini.

Mana tidaknya, pemilik nama sebenar Beyoncé Giselle Knowles-Carter itu dilihat memakai hijab bersama abaya ketika berkunjung ke sebuah pusat membeli-belah di negara berkenaan.

Berdasarkan gambar tular yang dipercayai diambil oleh orang awam, Beyoncé dilihat mengenakan abaya longgar dengan hijab berwarna hitam lengkap bersama anak tudung berona sama.

‘Permandangan’ yang jauh berbeza daripada kebiasaan ini rancak diperkatakan di media sosial memandangkan penyanyi berusia 44 tahun terbabit sering mengenakan pakaian menonjolkan bentuk badannya.

“Beyoncé dilihat sedang membeli-belah di Qatar,’ kongsi pemilik akaun peminat penyanyi terbabit menerusi satu hantaran dimuat naik di platform X yang sudah ditonton oleh 7.3 juta pengguna setakat artikel ini ditulis.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata peminat membuat andaian bahawa selebriti terbabit mungkin ‘menyamar’ agar dapat membeli-belah dengan tenang seperti orang biasa tanpa kawalan ketat.

Hai ini berikutan pelantun lagu ‘Run The World (Girls)’ itu tidak hanya berpakaian menutup aurat malah turut mengenakan kaca mata berwarna hitam dipercayai untuk mengelak daripada dirinya dikenali ramai.

Ramai juga pengguna platform X beranggapan bahawa selebriti itu memilih untuk berpenampilan sedemikian sebagai tanda menghormati adab berpakaian ketika berada di negara Islam.

Walaupun dilihat seperti bersendirian dalam gambar tular tersebut, namun orang ramai percaya bahawa pengawal peribadi Beyoncé tetap berada di sekitar pusat beli-belah berkenaan untuk menjaga keselamatannya.

Difahamkan, Beyoncé berada di Qatar bersama suaminya yang merupakan penyanyi rap terkenal dunia iaitu Jay Z berikutan Muzium Negara Qatar sebelum ini berkongsi gambar lelaki berkenaan ketika melawat ke tempat itu.

Gambar Jay-Z yang dikongsikan oleh pihak Muzium Negara Qatar sebelum ini namun kelibat isterinya tidak kelihatan.

Baca juga: Dakwa tinggal Mustaqqeem di Gunung Liang, rakan karib dedah cerita sebenar