Tular gambar kubur berkunci hingga timbul fitnah, wartawan ini dedah cerita sebenar

Oleh WAN SITI AMINAH

Sekeping gambar misteri memaparkan liang kubur yang dikunci dengan pagar besi menjadi perbincangan hangat baru-baru ini.

Menimbulkan tanda tanya, pelbagai spekulasi mula timbul sehingga mencetuskan berita palsu yang memburukkan agama Islam.

Kononnya terletak di negara Islam, ada individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar tersebut dengan kapsyen mengundang fitnah.

Kata individu tersebut, liang kubur itu terpaksa dikunci kerana masyarakat yang jarang ‘melihat aurat’ telah bertindak merogol mayat wanita.

Enggan membiarkan agamanya terus dihina, seorang wartawan nekad mencari kisah sebenar di sebalik gambar kubur berkunci itu.

Membongkar misteri, kubur yang bertempat di Telangana, Hyderabad, India itu sebenarnya ‘dihuni’ oleh seorang nenek berusia 70-an.

Wartawan bernama Mohammed Zubair itu mendedahkan bahawa kubur itu dikunci keluarga kerana tidak mahu mayat lain dikuburkan atas mayat nenek mereka.

“Ramai orang datang ke sini dan mengebumikan mayat di atas kubur lama tanpa kebenaran.

“Bagi mengelakkan orang lain daripada mengebumikan mayat lain di kubur itu, keluarga telah meletakkan jeriji di situ,” kata Muazzin masjid kawasan tersebut.

Baca juga: Tak sangka ikan paling mahal dalam dunia hidup di perairan Malaysia sahaja