Jabatan Mufti Negeri Pahang menafikan satu dokumen yang tular di media sosial yang didakwa sebagai surat rasmi berkaitan penetapan waktu Solat Sunat Aidilfitri bagi negeri itu.
Menerusi satu kenyataan rasmi, jabatan berkenaan memaklumkan bahawa dokumen yang menyatakan penetapan waktu Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri pada 20 Mac 2026 adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh pihak mereka.
Menurut kenyataan itu, pihak jabatan memandang serius penyebaran dokumen berkenaan kerana ia boleh mengelirukan orang ramai mengenai pengumuman rasmi berkaitan ibadah penting umat Islam.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih serta sentiasa merujuk kepada pengumuman rasmi daripada Jabatan Mufti Negeri Pahang atau pihak berkuasa agama negeri bagi mendapatkan maklumat yang tepat.
Dalam masa sama, jabatan tersebut tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya penyebaran dokumen palsu itu terus berlaku.
Pihak Jabatan Mufti Negeri Pahang turut menyeru kerjasama semua pihak untuk membantu mengekang penyebaran berita palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Baca juga: 10 tahun jadi barista jalanan, lelaki mampu bayar zakat RM10,000