Tunang tak kerja keras kumpul duit kahwin, gadis dilema dipikat ‘officemate’ gaji stabil

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular perkongsian daripada seorang gadis mengenai dilema yang dirasakannya dalam membuat keputusan untuk memilih teman hidup walaupun sudah memiliki tunang.

Masalah dikatakan berpunca daripada sikap tunangnya yang didakwa tidak bersungguh mengumpul wang bertujuan untuk menghalalkan hubungan mereka dalam ikatan suci perkahwinan.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, gadis itu memaklumkan bahawa dirinya sudah berusaha menyedarkan tunangnya dengan mencadangkan agar lelaki terbabit mula bekerja secara sambilan.

Lelaki terbabit bagaimanapun kerap memberikan alasan penat namun lebih memilih meluangkan masa lapangnya dengan bersenam di Gimnasium ataupun bermain futsal berbanding mencari duit lebih.

Sikap tunangnya membuatkan gadis berkenaan merasa bimbang jika masa depannya tidak terjamin sekiranya lelaki terbabit dipilih menjadi teman hidup atau ketua keluarganya kelak.

“Setiap kali saya suruh tunang buat kerja secara sambilan macam ‘e-hailing’ ke untuk mengumpul duit kahwin, dia mesti beri alasan penat. Nak pergi gimnasium ataupun bermain futsal.

“Saya faham, dia penat bekerja. Tetapi tak akanlah tiada rasa langsung untuk segerakan perkahwinan,” kesal gadis terbabit dalam perkongsian itu meluahkan rasa kekesalan terhadap sikap tunangnya.

Gadis terbabit bagaimanapun terfikir untuk memutuskan sahaja ikatan pertunangan mereka terutamanya selepas kehadiran rakan sekerjanya yang turut menyimpan perasaan dan berusaha keras dalam memikat hatinya.

Difahamkan, lelaki yang berumur dalam lingkungan 30-an itu bukan sahaja pandai mengambil hatinya dengan perlakuan matang malah turut memiliki pekerjaan dan pendapatan disifatkan stabil.

“Lelaki yang bekerja di pejabat saya ini bertugas sebagai penganalisis kewangan. Secara jujurnya, dia tidak berhenti mengejar saya. Tak pernah memaksa, tetapi cara dia jaga saya dan cakap tentang masa depan buat diri ini yakin dan tenang.

“Saya dilema sangat. Patutkah saya tinggalkan tunang yang sangat disayangi tetapi tak nampak arah masa depan? Sebaliknya terima lelaki yang saya tak sayang tetapi dia boleh berikan kehidupan yang stabil?

“Tetapi lelaki itu nampak jelas dia serius dengan saya. Jika kamu semua berada di tempat saya, apakah tindakan yang patut dilakukan?.” Soal gadis terbabit meminta pendapat orang ramai mengenai dilema pilihan dialaminya.

Baca juga: Anak mula berhijab, Siti Sairah kongsi momen terharu dan penuh makna