Tunggu Isnin atau selasa berita gembira akan diumum – Anwar

Oleh ROSLAN ZAMAN

Pada 3 hari yang lalu, media sosial Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan agensi kerajaan yang lain memberi bayangan bahawa satu pengumuman besar yang baik untuk rakyat akan diumumkan.

Hari ini di majlis Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera, Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB di Dewan Besar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Anwar dalam ucapannya sekali memberi ‘signal’ yang baik untuk rakyat Malaysia sebagai tanda penghargaan luar biasa kepada rakyat.

Menurutnya, pengumuman itu dijangka dibuat pada Isnin atau Selasa ini, selepas perinciannya dimantapkan terlebih dahulu oleh Kementerian Kewangan.

Anwar berkata, pengumuman tersebut berkait rapat dengan usaha kerajaan menangani isu kos sara hidup yang semakin menghimpit rakyat.

“Masalah utama negara kita ketika ini ialah kos sara hidup. Tahun ini sahaja, kita membelanjakan RM10 bilion untuk kenaikan gaji dan elaun penjawat awam.

“Tahun depan pula, tambahan RM18 bilion. Dicampur dengan STR (Sumbangan Tunai Rahmah) sebanyak RM13 bilion, jumlah keseluruhan ialah RM23 bilion.

“Kenaikan kos sara hidup bukan berlaku di Malaysia sahaja, tetapi di seluruh dunia. Namun, saya tetap mencari jalan dan ikhtiar terbaik,” katanya.

“Sebab itu saya minta sedikit masa. Kalau bukan Isnin, mungkin Selasa.

“Dalam dua ke tiga hari ini, insya-Allah kita akan umum satu perkara besar. Sekarang kita sedang memperkemaskan dulu agar pelaksanaannya lebih mantap. Doakan yang baik-baik,” katanya.

baca: Anwar