UMNO buat keputusan mengejut, Hishammuddin dan KJ antara 6,252 kembali ke pangkuan parti

Oleh KIM SYAZIE

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju menerima semula beberapa tokoh utama termasuk Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ke dalam parti tanpa sebarang syarat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MKT yang berlangsung di Melaka pada 17 April 2026.

Menurut beliau, keputusan tersebut selaras dengan gagasan “Rumah Bangsa” yang diperkenalkan Presiden UMNO bagi membuka ruang kepada mana-mana bekas ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti untuk kembali menyertai UMNO.

“Antara nama yang telah diputuskan termasuk Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Tan Sri Syed Hamid Albar serta 6,252 bekas pimpinan dan ahli di pelbagai peringkat,” katanya.

Tambahnya, langkah tersebut dilihat sebagai usaha memperkukuh semula parti dengan menghimpunkan semula tokoh-tokoh berpengalaman serta ahli akar umbi.

Dalam perkembangan sama, MKT turut meluluskan pindaan Peraturan Keahlian UMNO bagi membolehkan pendaftaran secara dalam talian, khususnya bagi menarik lebih ramai golongan muda menyertai parti.

Mesyuarat itu juga menyentuh isu kos sara hidup yang semakin meningkat, dengan UMNO menyarankan kerajaan negeri di bawah pentadbirannya untuk menyalurkan bantuan tambahan kepada rakyat terkesan.

Selain itu, UMNO bakal menganjurkan sambutan ulang tahun ke-80 parti bermula 1 hingga 5 Mei ini di World Trade Centre Kuala Lumpur, melibatkan pelbagai program termasuk konvensyen dan karnival keusahawanan.

Keputusan membawa kembali beberapa nama besar ini dijangka mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemerhati politik dan penyokong parti.

Baca juga: Sebuah kapal tangki minyak Malaysia rosak di Selat Hormuz – PM