Datuk A Kadir Jasin menggambarkan bahawa Umno akan kembali berkuasa susulan pertemuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama dengan Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
Wartawan veteran itu menyifatkan situasi pertemuan dua individu terpenting di dalam Umno itu seperti geng lama yang berkumpul semula atau ‘the old gang is back’.
“Najib Abdul Razak membuat kunjungan hormat kepada anak buahnya yang sama-sama orang Pahang, Ismail Sabri Yaakob yang kini Timbalan Perdana Menteri ‘mengesahkan’ segala-galanya.
“Secara de facto, ‘Umno is back in power’ dan jalan ke Sungai Buloh mungkin nampak semakin pudar dan harapan lepas bebas semakin cerah bagi para anggota kluster mahkamah Umno,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.
Kadir berkata, ini merupajan kesudahan langkah sheraton di mana Tan Sri Mahiaddin Md Yasin, Datuk Hamzah Zainuddin, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanyalah boneka dalam konspirasi licik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan kluster mahkamah Umno.
Beliau berkata, ‘The show of force’ atau pertunjukan kuasa oleh Umno telah bermula dengan siri kunjungan hormat kepada Ismail Sabri oleh pemuka-pemuka parti itu bermula dengan Ketua Pemudanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, pada 9 Julai lalu.
Baginya, simbolik kunjungan Asyraf yang menyerahkan memorandum berjudul ‘Tuntutan Rakyat’ kepada Ismail menunjukkan bahawa Umno tidak mengiktiraf Mahiaddin sebagai ketua kerajaan.
“Berbanding kunjungan hormat Asyraf, lawatan Najib ini adalah lebih simbolik dan penting. Siapalah Asyraf kepada Ismail Sabri berbanding Mohd Najib.
“Mohd Najib pernah menjadi bos dan mentor Ismail Sabri. Mohd Najib berjumpa Ismail Sabri bagi membincangkan isu berkaitan hala tuju dan dasar negara seolah-olah Ismail Sabri adalah Perdana Menteri,” ulasnya.