Usaha pertahan PH Plus buahkan hasil, Anwar dapat sokongan kukuh 105 MP

Oleh KIM SYAZIE

AMANAH sejak awal sentiasa mempertahankan gabungan besar Pakatan Harapan (PH) Plus agar tidak berpecah dan sama sekali tidak bersetuju jika gabungan itu dikuburkan.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad berkata, sejak awal lagi parti itu mengekalkan hubungan baik yang berterusan bersama Pejuang dan Warisan kerana menyedari permainan musuh yang hanya mahu memecahbelahkan pakatan pembangkang.

Bahkan katanya, biarpun PH Plus sering diserang, namun persefahaman bersama itu mendatangkan hasil apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mempunyai sokongan kukuh 105 Ahli Parlimen.

“AMANAH dari awal kita pertahankan jangan berpecah. Ini mainan Umno, mainan (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali. Kita nak supaya Mahathir kekal bersama, Shafie kekal bersama kerana akhirnya ia berkenaan dengan jumlah dan angka.

“AMANAH memang tak percaya janji (Datuk Seri) Najib Razak dan (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi.

“Kalau kita tak dapat bentuk kerajaan sekalipun, biarlah pembangkang itu bersatu dipimpin oleh ketua pembangkang mewakili semua parti-parti pembangkang,” katanya dalam siaran langsung di Facebook Jom Channel malam tadi.

Blok pembangkang diketuai Pakatan Harapan mempunyai 105 kerusi iaitu DAP (42), PKR (35), AMANAH (11), Warisan (8), UPKO (1), PSB (2), Pejuang (4) dan dua Ahli Parlimen Bebas iaitu Syed Saddiq Abdul Rahman (Muar) serta Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam).