Usul RMK-12 diluluskan tanpa pindaan

Oleh ARIF ATAN

Usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) diluluskan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini tanpa sebarang pindaan.

Usul RMK-12 yang memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM400 bilion itu dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 September lalu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun meluluskan usul itu menerusi undi suara selepas menyaksikan lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menjadi menteri terakhir menggulung usul itu sebelum ketetapan dibuat.

RMK-12 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan’ bermatlamat mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang negara.

Fokus rancangan pembangunan lima tahun negara itu telah dibahaskan selama empat hari oleh 106 Ahli Parlimen bermula 28 September lalu sebelum sesi penggulungan oleh kementerian berlangsung selama tiga hari bermula 5 Oktober.

Peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM400 bilion bagi pembangunan tahun 2021 hingga 2025 merupakan jumlah terbesar pernah diusulkan.