Vannesa Reynauld ada di lokasi tembakan, teman lelaki nampak mangsa cedera di kaki

Oleh WAN SITI AMINAH

Pengunjung di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Shah Alam, Selangor dikejutkan dengan satu insiden tembakan semalam sehingga membuatkan orang awam yang berada di lokasi kejadian panik.

Situasi panik tersebut turut dirasakan oleh penyanyi muda berbakat, Vanessa Reynauld yang berada di lokasi insiden berlaku untuk membeli-belah bersama teman lelakinya dan keluarga.

Menurut Vanessa, mereka berhadapan dengan detik yang sangat mendebarkan memandangkan insiden tembakan berkenaan berlaku betul-betul di sebelah premis kedai dikunjunginya.

Beberapa das tembakan yang dilepaskan pelaku dapat didengari dengan jelas malah teman lelaki Vanessa juga sempat melihat mangsa cedera di kaki akibat insiden tersebut.

“Pertama kali saya mengalami situasi seperti ini. Ia sangat menakutkan kerana kami berada dekat dengan tempat kejadian. Ia berlaku betul-betul di sebelah premis, tempat saya membeli-belah.

“Teman lelaki saya sempat melihat mangsa yang cedera dan ditembak di kaki. Pelaku terus melepaskan enam das tembakan dalam tempoh 20 minit. Kami terus berlari masuk ke dalam sebuah kedai.

“Kami menunggu di situ sehingga menerima lampu hijau oleh pihak bertugas untuk dibenarkan keluar,” katanya dalam satu hantaran dimuat naik di Instagram Story, malam semalam.

Vanessa membuat hantaran berkenaan selepas selamat sampai ke rumah dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang prihatin serta mengirimkan doa khusus buat mangsa terjejas.

Penyanyi berusia 25 tahun terbabit turut berkongsi satu rakaman di akaun TikTok miliknya memaparkan situasi berlaku di pusat beli-belah berkenaan yang mana bunyi tembakan jelas kedengaran.

@vanessareynauld

I went to setia mall for a quick errand run , and unfortunately this happened . This is my first time experiencing something like this and it was so scary !!! I am home safely now , I hope and pray that the victims are ok 😭😭 stay safe out there 🙏 #setiacitymall #gunshot

♬ original sound – Vanessa Reynauld – Vanessa Reynauld

Dalam perkembangan baharu, pihak polis memberitahu bahawa suspek yang terlibat di dalam kejadian tembakan itu telah dikenal pasti iaitu seorang warga tempatan berusia lingkungan 30-an dan berkulit cerah.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan memaklumkan pihaknya sedang giat mengesan dan menangkap suspek yang mempunyai 11 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Motif kejadian masih dalam peringkat siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman mati dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua puluh tahun.

Baca juga: Sheriff jadi filem tempatan paling laris cecah RM60.5 juta kalah filem antarabangsa