Video depan Kaabah jadi bahan fitnah masyarakat antarabangsa, ini respon Hafiz Mahamad

Oleh WAN SITI AMINAH

Nama personaliti media sosial, Hafiz Mahamad menjadi topik perbincangan hangat selepas rakamannya ketika mencium hajar aswad kembali tular di media sosial.

Lebih memburukkan keadaan, masyarakat antarabangsa bertindak menggunakan video berkenaan untuk mencetuskan fitnah yang mencemarkan imej agama Islam.

Video tersebut kembali ditularkan di platform X dengan dakwaan bahawa masjid dan madrasah bukanlah tempat selamat untuk wanita termasuklah di Tanah Suci Mekah.

“Wanita menghadapi gangguan yang melampau ketika berada di tapak yang paling suci di Mekah. Jadi adakah anda benar-benar fikir masjid dan madrasah itu selamat untuk wanita?,” ciap penggguna X berkenaan.

Perkara ini telah mengundang kemarahan terutamanya dalam kalangan umat Islam di Malaysia selain turut menggesa ahli perniagaan terbabit untuk bertanggungjawab.

Rata-ratanya berpendapat bahawa rakaman tersebut telah menyebabkan penganut agama lain salah faham terutama tentang isu keselamatan wanita ketika beribadat.

Susulan itu, Hafiz Mahamad menerusi satu hantaran ‘Instastory’ berjanji akan mengambil tanggungjawab memperbetulkan isu yang timbul ekoran tularnya video tersebut.

Walau bagaimanapun, usahawan berkenaan memerlukan masa untuk mendapatkan pandangan daripada pakar berkaitan supaya kesilapan lama tidak berulang kembali.

“Ada yang menasihati untuk saya diam. Tetapi saya nak bertanggungjawab kerana agama atas ‘statement’ (kenyataan) atau ‘perception’ (persepsi) daripada ciapan ini.

“Berikan saya masa untuk kukuhkan input dan meminta pandangan daripada yang pakar supaya kesilapan lama tidak akan berulang,” katanya dalam hantaran tersebut.

Kenyataan Hafiz yang dimuat naik di ‘Instastory’ miliknya.

Sementara itu, Hafiz dalam hantaran sama turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang memberi makluman mengenai ciapan masyarakat antarabangsa itu kepadanya.

“Hari ini, ramai sahabat yang beritahu tentang hal ini. Terima kasih sahabat kerana maklumkan kepada saya. Doakan saya ada kemampuan untuk usahakan perkara ini,” ujarnya.

Terdahulu, tular rakaman memaparkan Hafiz terpaksa menolak dan menjerit kepada jemaah lain untuk memberi laluan kepada beberapa jemaah wanita yang dibawanya.

Orang ramai kemudian menyelar tindakan yang dikatakan sengaja dilakukan untuk mencipta ‘content’ itu malah Hafiz turut ditegur oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menurut Dr. Zulkifli Mohamad, hukum mencium hajar aswad adalah haram jika perbuatan tersebut menyebabkan masalah, kesakitan atau membahayakan diri sendiri dan juga orang lain.

Usahawan itu kemudian menjelaskan bahawa tujuan perkongsian video memperlihatkannya membantu beberapa wanita mencium hajar aswad hanyalah untuk kenangan bersama pekerjanya.

Baca juga: Lain macam graduan universiti sekarang, hadiri majlis konvokesyen pandu Porsche