Wanita dipukul suami gara-gara ‘order’ air kosong, malu orang tahu isteri ada kencing manis

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang suami tergamak memukul isterinya sendiri hanya kerana wanita itu meminta air kosong ketika membuat pesanan di sebuah restoran.

Lelaki itu difahamkan bertindak sedemikian ekoran malu sekiranya orang lain dapat meneka bahawa isterinya kini menghidap penyakit kencing manis melalui pesanan minuman tersebut.

Kejadian itu didedahkan oleh seorang pegawai perubatan selepas didatangi oleh pesakit kencing manis berkenaan yang didapati mempunyai bacaan gula agak tinggi ketika pemeriksaan dijalankan.

“Tinggi bacaan gula puan ini. Dalam rekod 40 unit, tetapi insulin yang dia cucuk hanya sebanyak 36 unit. Pesakit itu mengakui kerap hypo (Hipoglisemia atau kandungan gula terlalu rendah dalam badan) jika cucuk 40 unit.

“Kalau hypo sahaja, pesakit ini kena pukul dengan suami. Marah sebab ikutkan sangat cakap doktor. Malah kadang-kadang kalau makan dekat kedai, suaminya tak benarkan pesakit ini memesan air kosong.

“Suami pesakit nak isterinya minum air manis juga. Sebab dia malu kalau orang tahu pesakit ini menghidap kencing manis. Kalau pesan air kosong, nanti selepas balik rumah dia kena pukul dengan suaminya,” kongsi doktor itu.

Perkongsian dibuat oleh doktor berkenaan menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di platform Thread tanpa mendedahkan butiran berhubung identiti sebenar pesakitnya.

Difahamkan, wanita terbabit pernah sahaja terfikir untuk bercerai namun terpaksa membatalkan niatnya apabila mengenangkan diri yang ditanggung sepenuhnya oleh suaminya ekoran tiada pekerjaan.

“Saya pernah pergi ke pejabat agama seorang diri sebab suami tak mahu. Mereka tak buat apa, beri nasihat sahaja. Suami yang baran, saya pula yang diberi nasihat. Selepas itu balik, kena pukul. Ada juga buat laporan polis.

“Suami kena tahan sekejap. Kemudian balik rumah, saya kena pukul lagi. Saya tak tahu nak mengadu dekat siapa lagi. Kalau doktor nak jumpa, dia ada di dalam kereta itu. Tetapi jika dia tahu saya mengadu, balik nanti kena pukul.

“Bukanlah tak pernah terfikir (nak bercerai) doktor, tetapi saya ini tak bekerja. Suami yang tanggung saya. Tidak mengapalah doktor. Esok-esok, dia matilah itu.” Kesal pesakit berkenaan.

Baca juga: Ramai tertanya-tanya selepas Generasi Alpha, bila pula Generasi Beta akan lahir?