Gara-gara makan dan minum secara terbuka di siang hari di bulan Ramadan dengan membuat siaran langsung, seorang wanita Muslim ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) untuk siasatan lanjut.
Menerusi rakaman siaran langsung yang beredar, orang ramai sempat meninggalkan komen teguran supaya menjaga sensitiviti pada bulan Ramadan sebelum wanita itu berbangga memaklumkan dirinya tidak berpuasa.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Mohd Asri Abdullah berkata, pihaknya mengambil maklum dan memberi perhatian serius terhadap hantaran yang tular pada 23 Februari itu.
Sehubungan dengan itu, pihaknya menjalankan siasatan berhubung dakwaan tidak menghormati bulan Ramadan malah wanita terbabit juga sudah ditahan serta dibawa ke bahagian penguatkuasaan JHEAINS, lapor Sinar Harian.
“Video berkenaan memaparkan seorang wanita Muslim yang didakwa telah menghina atau mencela agama Islam. Hasil siasatan mendapati, pemilik aplikasi TikTok berkenaan telah membuat siaran langsung pada Ahad.
“Kira-kira lepas jam 6.45 petang untuk berinteraksi bersama pengikutnya di media sosial dan telah melakukan tindakan terbuka dengan makan dan minum semasa siaran langsung tersebut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Difahamkan, wanita itu ditahan pada Selasa jam 12 tengah hari di rumahnya di Kuala Pilah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, berkaitan kesalahan penghinaan atau pencelaan terhadap agama Islam.
Walau bagaimanapun, wanita berusia 27 tahun terbabit sudah dilepaskan kira-kira pada jam 10 malam hari yang sama selepas pihak JHEAINS selesai mengambil keterangannya berhubung isu tersebut.
“Orang ramai khususnya masyarakat Islam dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap sensitiviti agama dan menghormati bulan Ramadan dengan amalan dan perilaku murni sesuai dengan kehendak Islam.
“JHEAINS sentiasa komited memastikan setiap urusan berkaitan umat Islam di Negeri Sembilan diurus dengan tertib, penuh hikmah dan berlandaskan syariat Islam serta undang-undang yang berkuat kuasa.” Ujarnya lagi.
Baca juga: Tak pergi bazar Ramadan, Saiful Apek pilih bubur lambuk, kurma dan air kosong sejak kecil