Sudah menjadi kebiasaan untuk bas berhenti seketika di mana-mana hentian rehat dan rawat (R&R) bagi membolehkan penumpang untuk turun sebentar.
Namun apa yang menakutkan bagi setiap penumpang adalah ditinggalkan ketika masih belum sempat menaiki bas semula.
Buat pengguna TikTok, Amirah menceritakan pengalaman cemas ditinggal R&R Bukit Gantang, Perak.
Menurut mStar, Amirah turun untuk ke tandas dan disebabkan orang terlalu ramai maka dia terpaksa beratur dalam jangka masa yang agak lama.
“Selepas selesai urusan di tandas, saya pergi ke kedai runcit di medan selera R&R untuk beli roti dan buah-buahan sebagai alas perut sebab saya tak makan sejak pagi.
“Kemudian ketika sedang berjalan ke arah bas, saya nampak bas tu dah bergerak. Saya cuba kejar tapi bas tu dah ke depan dengan laju… semput nak kejar.
“Saya tengok dekat tiket bas saya ada nombor phone, saya cuba call kaunter khidmat pelanggan tapi tak berangkat pula,” kata Amirah seperti dipetik mStar.
Melihat situasi tersebut, pasangan suami isteri cuba membantu dengan menumpangkan Amirah dan seorang rakan lagi untuk mengejar bas tersebut.
“Sebenarnya saya tak keseorangan… ada seorang lagi penumpang bas wanita yang senasib macam saya.
“Tiba-tiba ada satu keluarga ni mungkin nampak apa yang berlaku, mereka terus datang dekat kami. Mereka ajak naik kereta pergi kejar bas tu.
“Suami isteri tu ada tiga orang anak kecil, semua lelaki, Memang baik sangat mereka semua. Mereka tolong kami kejar bas tu sampai dapat,” cerita Amirah.
Dalam video tersebut, dapat diperhatikan bapa keluarga yang memandu kereta itu cuba sedaya-upaya mengejar bas berkenaan.
Apabila sudah menghampiri bas tersebut, hon kereta dibunyikan dan Amirah memberi isyarat tangan untuk berhentikan bas tersebut.
“Nasib baik la saya ingat nombor pendaftaran bas tu.
“Akhirnya dapat juga naik semula bas ni. Terima kasih orang baik yang tumpangkan. Semoga dimurahkan rezeki sebab sudi tolong kami.
“Rasa penat sebab aksi kejar-mengejar bas ni. Tragedi lepas raya yang akan saya ingat sampai bila-bila,” tambahnya.
Baca juga: Netizen risau tengok Puteri Sarah dah berani tayang leher, harap tak berubah selepas krisis