Aisha Isah Yelwa, seorang peniaga kecil yang gigih menampung kehidupan keluarganya, tersentak apabila mendapati akaunnya di First Bank tiba-tiba bertambah ₦330 juta (RM924,000) tanpa sebarang notifikasi atau penjelasan pada Isnin lalu.
Wang yang begitu besar itu muncul ketika dia sedang menyemak akaun untuk memastikan masalah potongan pinjaman berulang yang mengganggu perniagaannya sebelum ini telah diselesaikan.
“Tiada notifikasi kredit, tiada naratif transaksi, dan tiada sumber wang yang jelas. Saya buat transaksi ₦1 juta (RM2,800) dari akaun untuk pastikan ia bukan ralat, tetapi baki tetap sama.
“Saya semakin keliru dan risau,” kata Aisha dengan nada serius kepada Lapai TV memetik Agensi.
Keesokan harinya, Aisha bergegas ke cawangan Lapai First Bank bersama seorang peguam untuk melaporkan perkara itu secara rasmi.
Selepas menyiasat, pengurus cawangan mengesahkan wang itu adalah hasil ralat sistem dan memuji kejujuran Aish yang memulangkan jumlah berkenaan kepada pihak bank.
Walaupun tindakannya murni, Aisha mendedahkan bahawa dia turut menerima kritikan daripada sebahagian orang ramai yang hairan kenapa dia tidak mengekalkan wang tersebut.
“Saya seorang ibu, dan masa depan anak-anak lebih penting daripada wang. Walaupun menghadapi cabaran kewangan, saya tak mahu ambil hak orang lain,” katanya.
Aisha berkata, pengalaman itu memberinya kepuasan dan ketenangan jiwa.
Dia menegaskan bahawa tindakan itu bukan semata-mata tentang wang, tetapi soal integriti, prinsip, dan tanggungjawab terhadap keluarga.
“Rasa puas itu lebih penting daripada apa-apa. Saya mahu menjadi contoh yang baik untuk anak-anak saya,” tambahnya.
Kisah kejujuran Aisha kini menjadi bualan hangat bukan sahaja di Lapai, tetapi di seluruh Nigeria.
Ramai yang memuji tindakan beliau sebagai teladan jarang ditemui, terutamanya ketika tekanan kewangan mempengaruhi ramai orang untuk bertindak sebaliknya
Kejujuran Aisha menjadi pengingat bahawa, walaupun dunia semakin mencabar, prinsip dan integriti masih wujud dan mampu menginspirasi ramai orang.
Baca juga: Dikecam kerana jual beg tangan berharga RM299, MUA Bellaz tampil beri penjelasan