Wanita sedih bekas suami rembat duit BAP anak, dakwa sudah habis bayar hutang motor

Oleh MALAYSIADATELINE

Siapa sangka, hari yang paling dinanti-nantikan oleh ibu bapa untuk menerima wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi menampung keperluan anak malah menjadi detik paling memilukan buat seorang wanita.

Mana tidaknya, wang bantuan kerajaan berjumlah RM150 bagi setiap seorang anak itu dikatakan habis digunakan oleh bekas suaminya untuk keperluan peribadi tanpa memikirkan kesulitan dihadapi cahaya matanya sendiri.

Berdasarkan perkongsian yang dimuat naik di platform X, wanita berkenaan mengakui segalanya bermula apabila bekas suaminya itu datang ke sekolah anaknya dengan lebih awal untuk menuntut wang bantuan tersebut.

Wanita itu kemudian meminta bekas suaminya untuk membayar perbelanjaan buku sekolah anak-anak mereka namun betapa hancurnya hati sang ibu apabila diberitahu bahawa wang BAP tersebut sudah habis digunakan.

“Hari ini sedih gila. Bekas suami aku pergi sekolah ambil BAP anak-anak mereka dahulu. Selepas itu apabila minta nak tambah-tambah beli buku sekolah, bekas suami boleh pula cakap sudah habis bayar hutang motosikal dia.

“Sedangkan aku lambat sedikit sahaja datang ke sekolah tadi. Semoga engkau miskin selamanya, Amin,” kata sang ibu meluahkan rasa kesalnya tanpa mendedahkan identiti sebenarnya itu.

Namun menerusi hantaran NGL (Not Gonna Lie) di akaun pengguna X dikenali sebagai Mein Mokhtar itu, sang ibu tidak berkongsikan secara terperinci mengenai bilangan anak serta jumlah BAP diambil bekas suaminya.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna X menasihati wanita terbabit untuk segera membuat laporan di balai polis jika anak berada di bawah jagaannya kerana tindakan bekas suaminya boleh dianggap mencuri.

Ramai juga pengguna menyelar tindakan lelaki terbabit serta memberikan peringatan mengenai tanggungjawab sebagai seorang bapa yang seharusnya berusaha mencari rezeki untuk menanggung cahaya mata diamanahkan bukan malah mengambil hak mereka.

“Tolonglah menjadi lelaki yang rajin mencari duit. Kasihan dekat anak-anak kau, dapat bapa yang pemalas. Bayar motosikal itu berapalah sangat. Sampai sengkek benar pakai duit,” kesal seorang pengguna X meluahkan rasa amarahnya.

“Kalau aku, sudah buat laporan polis. Sebab dia mencuri duit anak. Selepas ini, jangan benarkan dia ambil apa-apa yang berkaitan dengan hal anak. Beritahu guru dekat sekolah mengenai masalah anda. Sepatutnya si bapa itu buatlah kerja sambilan, cari duit bayar hutang motosikal.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Ibu akui tindakan tampal mulut bayi satu kesilapan, tampil mohon maaf