Wanita terkejut dihina pengemis hanya kerana RM1, menitis air mata sedekah tak dihargai

Oleh WAN SITI AMINAH

Alangkah terkejutnya seorang wanita apabila mendapati wang sedekah pemberiannya yang bernilai RM1 langsung tidak dihargai oleh pengemis berikutan menganggap jumlahnya terlalu sedikit.

Lebih memburukkan keadaan, pengemis yang meminta sedekah di kaki lima itu juga sanggup melemparkan kata-kata hinaan sehingga membuatkan wanita terbabit tidak dapat menahan sebak lalu menitiskan air mata.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila dirinya ternampak seorang pengemis sedang duduk di tepi jalan itu dengan memegang satu bekas yang kosong sebelum mengambil keputusan untuk menghulurkan sedekah.

“Aku adalah sedekah RM1 dekat orang yang selalu duduk di tepi jalan kaki lima itu. Sebab aku kasihan tengok bekas dia macam kosong lagi. Selepas itu, aku sempat pusing ke belakang sebelum nak beredar dari situ.

“Kamu semua tahu tak, aku nampak pengemis itu buat apa? Dia ambil ambil duit itu dan cakap, ‘Bodoh, kedekut betul. Seringgit sahaja?’. Selepas itu dia campak duit itu ke dalam bekas semula.

“Aku menangis selepas nampak perbuatan dia itu. Aku rasa RM1 itu tidak dihargai. Terus timbullah rasa tak ikhlas, menyesal dan tak mahu berikan sedekah kepada orang lain,” kongsinya.

Tular di media sosial, perkongsian tersebut dimuat naik oleh wanita itu menerusi satu hantaran di platform media sosial Thread dan menuai pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Berdasarkan tinjauan di ruangan komen perkongsian itu, rata-rata pengguna tampil berkongsi pengalaman sendiri apabila dimarahi oleh peminta sedekah kerana memberi wang dalam jumlah yang sedikit.

Namun ramai juga individu memberikan saranan kepada wanita itu untuk tidak memikirkan perlakuan pengemis terbabit kerana pahala yang akan dikurniakan Tuhan tidak bergantung kepada mereka sebaliknya keikhlasan pemberi.

Beberapa individu juga mencadangkan pelbagai alternatif lain lebih dipercayai untuk wanita itu memberi sedekah termasuk ke tabung masjid, pembinaan tahfiz, lembaga zakat dan tentulah ahli keluarga yang memerlukan.

“Tak payahlah sedih. Abaikan sahaja jika pengemis itu nak merungut ke apa. Itu hal dia dengan Allah. Yang penting, pahala sedekah itu dapat. Jadi janganlah tawar hati untuk sedekah lagi di masa hadapan,” kata seorang pengguna.

“Sedekah yang paling baik adalah kepada ahli keluarga sendiri. Bersedekahlah kepada mereka yang memerlukan. Bukan kepada orang yang menjadikan minta sedekah ini sebagai kerja.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Pengerusi dedah ada individu yang sudah pencen tapi masih tak bayar lagi pinjaman PTPTN