Namanya pernah tular di media selepas menjadi antara rakyat Malaysia tertua yang menerima vaksinasi COVID-19.
Wanita tertua di Kelantan, Siti Liah Mamat meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Kampung Cherang malam tadi.
Allahyarhamah yang berusia 124 tahun itu mempunyai 14 anak dan lebih 40 cucu menghembuskan nafas di sisi keluarganya lapor Harian Metro.
Kongsi cucunya Azhar Mustafa, neneknya dikelilingi anak dan cucu pada saat akhir hayatnya.
“Dia uzur sejak beberapa bulan kebelakangan ini, tetapi kekal ceria. Dia mengajar kami untuk sentiasa bersyukur dan menjaga antara satu sama lain.
“Kehilangannya umpama kehilangan jantung keluarga kami,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Jenazah Siti Liah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rambutan Rendang, kira-kira tengah hari tadi.
Baca juga: Geram bapa kahwin lagi buat kali keenam, adik beradik protes tak mahu datang majlis