Anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan seorang wanita dan pasangannya yang juga lelaki warga asing kerana disyaki bersekedudukan selama dua tahun sehingga melahirkan anak.
Mereka ditahan dalam serbuan dijalankan JAINJ kira-kira pada jam 10 pagi semalam di rumah didiami pasangan berkenaan yang terletak di kawasan Muar, Johor selepas mendapat aduan daripada orang awam.
Ketika serbuan dijalankan, lelaki warga Indonesia yang berusia dalam lingkungan 40-an itu hanya memakai kain pelikat tanpa mengenakan baju manakala wanita terbabit pula dalam keadaan berkemban dengan kain batik.
Difahamkan, wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu tidak memiliki pekerjaan dan sudah tinggal sebumbung dengan warga asing terbabit selama kira-kira dua tahun sehingga melahirkan seorang cahaya mata.
Menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook, JAINJ memaklumkan bahawa pasangan ini mendakwa mereka sudah bernikah di negara jiran namun gagal mengemukakan dokumen pernikahan sebagai bukti.
“Lelaki yang ditahan didapati bekerja sebagai tukang rumah. Ketika serbuan, dia cuba melarikan diri melalui pintu belakang. Tetapi berjaya dikejar oleh penguat kuasa. Pasangan ini mendakwa sudah bernikah di Indonesia.
“Tetapi mereka gagal menunjukkan surat nikah. Apabila diminta ditunjukkan gambar, mereka tunjuk gambar berdua sewaktu pakai baju raya dan bukan masa akad nikah dijalankan.
“Malah apabila ditanya mengenai tarikh mereka bernikah, lelaki itu jawab dia tak ingat. Anak mereka yang berusia tiga bulan itu dilahirkan di Hospital Muar dan mempunyai surat beranak tanpa nama bapa,” kongsi JAINJ.
Dalam pada itu, wanita terbabit juga mengakui lupa tarikh sebenar pernikahan mereka namun mendakwa sudah menikah sekitar dua tahun lepas selain tidak dapat menunjukkan bukti perjalanannya ke negara seberang.
Penjelasan yang diberi oleh wanita itu juga menimbulkan keraguan kerana mendakwa masuk ke Indonesia secara haram sewaktu diminta untuk menunjukkan pasport miliknya sebagai bukti perjalananan.
“Pasangan ini perlu membuktikan sendiri bahawa mereka sudah menikah ketika didakwa di mahkamah nanti. Mereka ditangkap atas kesalahan persetubuhan luar nikah mengikut Seksyen 23 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
“Sekiranya didapati bersalah, pasangan ini boleh dihukum denda sebanyak RM5,000 ataupun dipenjara selama tiga tahun atau enam sebatan atau kombinasi hukuman tersebut.” Ujar JAINJ dalam kenyataan itu.
Baca juga: Wanita mengamuk serang bekas suami di rumah lepas nama dibatalkan sebagai penerima hibah