Siapa sangka, warga asing mampu menjana pendapatan sehingga mencecah RM600 sehari dengan hanya menjalankan kegiatan mengemis di sekitar pasar malam terletak di Johor Bahru.
Malah terdapat juga pengemis jalanan yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) sanggup menggunakan kekurangan mereka seperti kudung dan cacat anggota untuk meraih simpati orang ramai.
Kegiatan 18 warga asing ini akhirnya terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor menjalankan operasi penguatkuasaan bagi menggempur pengemis jalanan melibatkan dua lokasi pasar malam.
Menurut Pengarah Imigresen Johor, Datuk Hj Mohd Rusdi Mohd Darus, operasi tersebut dijalankan di pasar malam sekitar Kampung Melayu Majidee dan Taman Abad pada 3 Februari lalu.
Jelasnya, operasi yang dijayakan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor itu berjaya menahan 18 warga asing hasil daripada makluman orang awam dan risikan pihaknya.
“Operasi bermula jam 7.00 petang itu dijalankan berikutan daripada maklumat awam dan risikan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor ke atas kegiatan mengemis yang melibatkan warga asing di sekitar Johor Bahru.
“Seramai 18 warga asing yang ditahan adalah terdiri dari masing-masing empat warganegara China dan Thailand, tiga lelaki dan seorang perempuan asal Kemboja, dua perempuan dan dua lelaki dari Syria, serta masing-masing seorang lelaki Bangladesh dan Pakistan.
“Hasil siasatan awal mendapati kesemua pengemis terbabit mampu meraih pendapatan purata harian sehingga RM600 seorang,” kata Mohd Rusdi dalam satu kenyataan dimuat naik di platform Facebook.
Mengulas lanjut, Mohd Rusdi memaklumkan kesemua tahanan berada di dalam lingkungan usia 40 hingga 69 tahun itu ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor turut menyeru kepada semua pelawat warganegara asing yang berada di Malaysia supaya mematuhi undang-undang dan peraturan Imigresen.
“Kesemua yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Orang ramai juga diseru supaya menyalurkan maklumat tepat dan lengkap ke Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor melalui saluran; https://imi.spab.gov.my.” Ujarnya dalam kenyataan tersebut.
Baca juga: Akaun bank dibeku, pendakwah selebriti mungkin tutup 3 maahad tahfiz