Tiada siapa menyangka seorang warga emas yang bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran rupa-rupanya merupakan orang berada dan kaya raya.
Menurut laporan, wanita berusia lingkungan 60-an itu pergi ke tempat kerja dengan menaiki kenderaan mewah jenis Bentley bernilai kira-kira RM3 juta.
Ia menjadi perhatian warga maya selepas tular rakaman warga emas itu keluar dari kereta mewah berwarna hitam dengan baju bercorak belang merah jambu, apron dan but getah.
Dia kemudian berjalan masuk ke dapur restoran untuk memulakan tugas harian sebagai pencuci pinggan.
Menurut laporan China Times, wanita itu dihantar setiap pagi oleh anak perempuannya menaiki Bentley berkenaan.
Walaupun tidak mempunyai masalah kewangan, dia memilih untuk melakukan kerja-kerja pembersihan kerana enggan duduk diam di rumah.
“Saya sangat bosan di rumah dan badan rasa tak selesa kalau sehari tak cuci pinggan,” katanya.
Tindakan wanita berkenaan mendapat pujian ramai pengguna media sosial yang kagum dengan sikap rendah diri dia, selain pandai berdikari walaupun hidup serba kemewahan.
“Bagus untuk beliau. Hubungan sesama manusia penting untuk umur panjang,” tulis seorang pengguna di platform media sosial Weibo.
Ramai berpendapat, tindakannya menjadi inspirasi bahawa kekayaan bukan jaminan kebahagiaan, sebaliknya hubungan sosial, rasa berguna dan kesibukan positif memberi makna sebenar dalam kehidupan.
Baca juga: Dari modal RM300 ke pasaran global, produk usahawan wanita Kelantan kini di 20 negara