Warga Myanmar jual Mi Wantan di Malaysia raih pendapatan 5 angka, siap hantar anak ke sekolah swasta

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, peniaga yang merupakan pasangan suami isteri warga Myanmar berjaya meraih pendapatan begitu lumayan dengan hanya menjual hidangan Mi Wantan di sebuah gerai di Malaysia.

Pasangan yang dipercayai membuka gerai di ibu kota itu menjalankan operasi mereka selama enam hari seminggu dan berhasil menjana pendapatan sebanyak lima angka pada setiap bulan.

Menerusi keuntungan yang diperolehi dari perniagaan Mi Wantan itu, pasangan berkenaan mampu memberi akses pendidikan terbaik buat anak mereka di sebuah sekolah swasta terletak di Segambut, Kuala Lumpur.

Perkara mengejutkan itu didedahkan oleh seorang wanita tempatan menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di laman kumpulan Facebook, 我来自甲洞(大马帮) selepas berbual dengan pengusaha Mi Wantan terbabit.

Menurut wanita berkenaan, keuntungan diperolehi oleh pasangan peniaga warga asing itu dengan hanya menjual Mi Wantan sememangnya melebihi daripada pendapatan isi rumah kebanyakkan rakyat tempatan di negara ini.

“Saya baru sahaja berbual dengan seorang peniaga warga Myanmar yang menjual hidangan Mi Wantan di gerainya. Lelaki terbabit mampu menghantar anak perempuannya belajar di sebuah sekolah swasta dengan yuran bulanan sebanyak RM1,150.

“Keluarganya menyewa di sebuah unit apartment dengan bayaran RM1,700 setiap bulan. Kos sewa gerai yang perlu ditanggung pula adalah sebanyak RM1,600 sebulan. Saya tanyalah peniaga itu, berapa pendapatan bulanannya?

“Peniaga itu mengakui menjana lima angka dengan satu hari cuti setiap minggu. Katanya, dia mempunyai permit. Pasangan itu membuka gerai kecil sahaja tetapi pendapatan mereka jauh melebihi kebanyakkan rakyat Malaysia,” kongsinya.

Mengakhiri perkongsiannya itu, wanita terbabit menyeru rakyat Malaysia untuk terus berusaha terutamanya dalam mencari punca pendapatan yang dapat meningkatkan kualiti hidup seperti peniaga Mi Wantan terbabit.

“Jadi semua orang, teruskan (berusaha). Kalaulah pekerja asing pun boleh buat, mesti kita juga boleh buat.” Ujar wanita berkenaan dalam hantaran tersebut.

Baca juga: “Suami aku sanggup buat loan sebab nak join ‘trade’, aku sampai bergadai habis barang kemas…”