Platform laman sosial WhatsApp memohon maaf atas gangguan perkhidmatannya sejak tengah malam tadi.
Dalam ciapan di Twitter setengah jam lalu, WhatsApp memberitahu sedang berusaha untuk memulihkan akses ke laman sosial itu.
“Mohon maaf kepada semua orang yang belum dapat menggunakan WhatsApp hari ini. Kami mula perlahan-lahan dan berhati-hati agar WhatsApp berfungsi semula.
“Terima kasih banyak atas kesabaran anda. Kami akan terus memberitahu anda apabila kami mempunyai lebih banyak maklumat untuk dikongsi,” kata pihak WhatsApp lagi.
Setakat ini, lebih tujuh jam pengguna Facebook, WhatsApp, Messenger dan Instagram di seluruh dunia tidak dapat melayari laman-laman tersebut.
Laman web yang memantau masalah berkaitan internet, Downdetector.com sebelum ini memaklumkan sebanyak 43 peratus pengguna menghadapi masalah itu dan 27 peratus pengguna tidak dapat menghantar mesej menerusi aplikasi terbabit.
Sementara itu, Facebook dalam kenyataan di Twitter memaklumkan, pihaknya sedang berusaha mengatasi masalah itu.
“Kami menyedari bahawa beberapa pengguna menghadapi masalah untuk mengakses aplikasi dan produk kami.
“Kami berusaha untuk memulihkan keadaan secepat mungkin, dan kami mohon maaf atas kesulitan ini,” kata ciapan itu.
WhatsApp, Messenger dan Instagram dimiliki Facebook. Gangguan sama terhadap kesemua laman media sosial itu pernah berlaku pada April 2019 hampir seluruh dunia ekoran masalah teknikal.
Sebelum itu, pada Mac 2019, Facebook mengalami gangguan selama lebih 24 jam apabila sebahagian besar pengguna berdepan masalah untuk melayari laman itu, Instagram dan WhatsApp.