Yang di-Pertuan Agong gering, sedang jalani rawatan susulan sakit otot dan tulang

Oleh MALAYSIADATELINE

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sedang gering susulan kesakitan ‘musculoskeletal’ yang melibatkan otot dan tulang di bahagian belakang serta pinggul.

Menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook, Istana Negara memaklumkan bahawa Sultan Ibrahim dinasihatkan pakar perubatan untuk berehat dan tidak berangkat ke sebarang majlis untuk memberi ruang kepada proses rawatan dan pemulihan.

Seri Paduka Baginda juga tidak dapat berangkat ke majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Jemaah Menteri, Ketua Perwakilan Asing dan Pegawai Kanan Kerajaan di Istana Negara, kelmarin kerana perlu menjalani rawatan susulan.

“Selain majlis perasmian Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Sultan Ibrahim semalam, yang telah ditangguhkan ke suatu tarikh yang lain.

“Yang di-Pertuan Agong bertitah akan kembali berangkat ke majlis-majlis rasmi sebaik kesihatan Baginda beransur pulih.” Kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim dilaporkan selamat menjalani rawatan konservatif bagi masalah sama yang berkaitan otot dan tulang itu di luar negara pada bulan Februari tahun lalu.

Difahamkan, kesakitan berkenaan berpunca daripada latihan ketenteraan intensif dan gaya hidup aktif Seri Paduka Baginda yang gemar bersukan sewaktu muda, terutama bermain polo.

Baca juga: Khairul Aming sebak imbau 9 tahun perjalanan, kenang arwah ayah dan sokongan peminat