“Yang pasti, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bukan calon Perdana Menteri” – Samsuri Mokhtar

Oleh MALAYSIADATELINE

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar membalas kenyataan dari Pengerusi Bersatu, Muhyiddin Yassin berkaitan isu calon Perdana Menteri jika Perikatan Nasional (PN) memenangi pilihan raya akan datang.

Ahmad Samsuri melalui kenyataan di platform Facebook mengakui sering ditanya tentang pernyataan Muhyiddin bahawa perlantikannya selaku Pengerusi PN baharu tidak menjamin kedudukannya sebagai calon Perdana Menteri.

Namun beliau yang juga Menteri Besar Terengganu itu menegaskan bahawa isu tersebut bukanlah keutamaan sebaliknya PN sedang menumpukan perhatian untuk mengukuhkan kedudukan gabungan berkenaan.

Mereka juga perlu memantapkan muafakat di seluruh negara melibatkan ahli komponen parti dalam gabungan tersebut sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Siapa pun calon, keutamaan kita sekarang adalah memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) dan memantapkan muafakat seluruh negara demi menghadapi pilihan raya dengan lebih bersedia.

“Yang pasti TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin) juga bukan lagi calon PM (Perdana Menteri),” ujar Pengerusi PN yang baru dilantik dalam satu kenyataan ringkas dimuat naik di akaun Facebook peribadi miliknya.

Beliau berkata sedemikian untuk mengulas kenyataan Muhyiddin semalam bahawa pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN yang baharu tidak menjamin kedudukannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri.

Sebaliknya, Bekas Pengerusi PN itu menegaskan bahawa pelantikan jawatan tertinggi dalam gabungan tersebut dan penentuan calon Perdana Menteri pasca PRU16 adalah dua perkara yang berbeza.

Muhyiddin juga memaklumkan bahawa ahli komponen dalam gabungan itu belum memulakan perbincangan rasmi mengenai calon Perdana Menteri dan perlantikan Ahmad Samsuri dibuat selepas parti Pas bertegas mahukannya.

Baca juga: Perlantikan Samsuri sebagai Pengerusi PN bukan jaminan jadi calon Perdana Menteri – Muhyiddin