Zamri Vinoth mengaku tak salah, dituduh keluar kenyataan cetus kegentaran awam

Oleh MALAYSIADATELINE

Penceramah bebas, Zamri Vinoth membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan kegentaran awam, pada bulan lalu.

Pengakuan tersebut dibuat oleh Zamri yang juga merupakan Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.

Tertuduh yang mengenakan baju kemeja bersama kot berwarna biru itu kelihatan tenang ketika pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya sebelum menjawab ‘tidak bersalah’ dan memohon untuk dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, Zamri didakwa mengeluarkan kenyataan yang berpotensi menimbulkan kegentaran awam sehingga mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada 7 Februari lalu yang boleh didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (Akta 574), lapor Malaysia Gazette.

Sekiranya disabitkan kesalahan atas dakwaan tersebut tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua duanya sekali.

Terdahulu, Zamri dalam keadaan tangan bergari tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta kira-kira pada pukul 9.10 pagi tadi dengan diiringi kawalan ketat polis.

Turut kelihatan di mahkamah pagi ini adalah beberapa anggota GARAH termasuk pendakwah bebas popular, Firdaus Wong.

Baca juga: Tamim Dahri kongsi video di Masjid Nabawi ketika dakwaan lari ke Thailand