Selepas mencipta sejarah, orang islam pertama yang menang pilihanraya Datuk Bandar New York pada tahun lepas, Zohran Mamdani sekali lagi menjadi tumpuan apabila mengangkat sumpah jawatan dengan kitab suci al-Quran.
Datuk Bandar Muslim pertama kota metropolitan terbesar di Amerika Syarikat (AS) berusia 34 tahun itu menggunakan kitab suci peninggalan datuknya dan salinan berusia 200 tahun yang dipinjam dari Perpustakaan Awam New York (NYPL) untuk acara persendirian tersebut yang berlangsung di stesen kereta api bawah tanah terbiar di Times Square.
“Ia satu penghormatan seumur hidup,” katanya selepas majlis angkat sumpah tersebut yang dilakukan di hadapan Peguam Negara New York, Letitia James.
Pada November 2024, dalam pilihan raya yang mencatatkan jumlah pengundi tertinggi sejak tahun 1969, Zohran menewaskan bekas Gabenor New York Andrew Cuomo dan calon Republikan Curtis Sliwa dengan kemenangan yang mengejutkan ramai pihak.
Kemenangan beliau menandakan perubahan besar dalam landskap politik bandar, dengan sokongan kuat daripada golongan progresif dan pengundi muda yang mahukan reformasi sosial dan ekonomi.
Kempen Zohran menekankan isu kos sara hidup, perumahan mampu milik, penjagaan kanak-kanak universal, dan keadilan sosial.