Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin enggan mengulas penubuhan Parti Negara Malaysia (PNM) yang dikaitkan dengannya.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu hanya menjawab, penubuhan platfom baharu politik itu sekadar desas-desus.
“Desas-desus… desas-desus… desas-desus lah…” katanya ringkas.
Bekas Naib Presiden PKR yang kini Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyerahan dokumen Kenaf Grading Standard di Galeri Kenaf, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Kubang Kerian di Kelantan hari ini.
Sebelum ini, muncul dakwaan bahawa sebuah parti politik baharu yang terbuka menerima menerima keahlian pelbagai kaum akan dilancarkan di ibu negara hujung bulan ini.
Difahamkan, penubuhan parti ekoran keengganan Bersatu untuk menerima sebahagian daripada ahli dari PKR dan penyokong Zuraida serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
PNM juga dikatakan akan kekal berada dalam blok dan menjadi penyokong kerajaan hari ini.