“13 tahun, 13 sampul” – Tak pernah tengok jumlah, wanita ini akhirnya ‘unbox’ duit raya suami

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang wanita mencuri perhatian ramai di media sosial selepas berkongsi kisah unik menyimpan sampul duit raya daripada suaminya selama 13 tahun tanpa pernah membukanya.

Menerusi perkongsian oleh pengguna dikenali sebagai m_miza, dia mendedahkan telah mengumpul kesemua sampul raya tersebut sejak tahun pertama perkahwinan mereka.

“13 tahun perkahwinan, 13 sampul raya tidak dibuka! Saya simpan duit raya daripada suami sejak raya pertama bersama.

“Tak pernah buka pun untuk tengok berapa jumlahnya,” kongsinya di Threads.

Menurutnya, dia akhirnya bercadang untuk membuka kesemua sampul tersebut, namun masih berbelah bahagi sama ada mahu membelanjakannya atau terus menyimpan sebagai simpanan.

“Saya patut label ikut tahun supaya boleh ‘track performance’. Sekarang ini tengah fikir, nak guna atau simpan sampai ekonomi stabil,” katanya berseloroh.

Di ruangan komen wanita berkenaan memaklumkan sampul sudah dibuka di hadapan suaminya namun kekal merahsiakan jumlah diterima.

“Alamak, kita buka depan suami je, sambil tanya kenapa tahun ini macam ni, kenapa yang ini ada banyak ni.

“Awak ada KPI personal ke yang saya tak tahu? Diam-diam bagi markah… dia pun dah tak ingat, katanya,” ujarnya.

Perkongsian tersebut turut dihujani pelbagai reaksi netizen yang rata-rata teruja dan tidak sabar menantikan ‘unboxing’ sampul raya berkenaan.

“Cepatlah buka sis, kita pun nak tengok walaupun duit orang!” tulis seorang pengguna.

“Saya akan beli barang kemas, lepas itu tunjuk dekat suami. Percayalah, suami lagi excited bila tahu duit itu sebenarnya daripada dia,” kongsi seorang lagi pengguna.

“Akak, kena buka juga… ada orang komen pasal zakat simpanan. Kalau dah cukup jumlah, memang kena bayar,” tulis seorang pengguna.

Baca juga: Pelanggan terkejut restoran di Genting Highlands caj RM902 untuk seekor ikan patin stim