17 bulan jadi menteri wanita, baru sekarang Rina ada tekad 100 hari? – Hannah Yeoh

Oleh KIM SYAZIE

Tekad 100 hari Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWK), Datuk Seri Rina Harun yang katanya akan memudahkan lagi permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dikritik Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Beliau mempersoalkan mengapa tiada tekad yang sama yang dilakukan oleh Rina pada tahun lalu sepanjang menganggotai kementerian tersebut.

Yeoh berkata, seakan-akan bekas perdana menteri sewaktu pentadbiran Perikatan Nasional (PN) tidak membenarkan Ahli Parlimen Titiwangsa itu membuat kerja.

“Orang yang sama ini jaga isu kebajikan sejak tahun lepas. Tiba-tiba ada tekad baru dalam 100 hari. Kenapa tak ada tekad sama tahun lepas?

“Seakan-akan PM Bersatu dulu tak bagi dia buat kerja, PM Umno bagi dia tekad baru – begitu?,” ciapnya di Twitter semalam.

Terdahulu, Rina menyatakan tekadnya untuk memudahkan proses permohonan bantuan JKM dalam tempoh 100 hari.

Menurutnya, langkat itu perlu memandangkan terdapat peningkatan mendadak permohonan antara 20 hingga 30 peratus permohonan bantuan yang diterima JKM selepas pandemik Covid-19 melanda negara.