Seramai 77 Ahli Parlimen pembangkang menuntut agar satu suruhanjaya khas dibentuk untuk menyiasat isu pengurusan banjir dan menggesa laporan hasil siasatan tersebut dibentangkan di Parlimen.
Menerusi kenyataan media yang diketuai Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau menegaskan perlunya satu ‘bedah siasat’ menyeluruh untuk mengenalpasti tentang kesalahan-kesalahan yang mengakibatkan banjir besar serta penambahbaikan yang perlu diusahakan.
Beliau juga menggesa agar kerajaan memulakan dasar pro-iklim seperti pelan penyesuaian nasional dan pelan pengurangan risiko bencana.
“(Kami juga) mendesak pendakwaan yang lebih tinggi dikenakan terhadap mereka yang menyumbang kepada perubahan iklim seperti penebangan hutan.
“Selain itu, kerajaan Persekutuan harus melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk ahli pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil untuk membangunkan pelan holistik bagi mengurangkan bencana serta kesan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut dibuat bersama kesemua 77 Ahli Parlimen mewakili parti PKR, AMANAH, DAP, dan Muda.
Anwar menambah, kerajaan perlu bertindak pantas bagi mengelakkan kehilangan nyawa yang tidak perlu disebabkan oleh ketidakcekapan, kelewatan dan kecuaian yang boleh dielakkan dari awal.
Pada masa sama, beliau turut senada dengan beberapa Gabungan Darurat Iklim Malaysia (GDIMY) dan juga sekumpulan 44 masyarakat awam dan individu Malaysia di mana kerajaan perlu mengisytiharkan bencana banjir sebagai bencana negara.