Situasi di Myanmar termasuk perkembangan berkaitan krisis Rohingya menjadi antara fokus perbincangan dalam pertemuan dua hala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman.
Menerusi perkongsian di platform Facebook, Anwar menegaskan bahawa kedua-dua negara menekankan kepentingan untuk meneruskan usaha damai melalui penglibatan menyeluruh semua pihak berkepentingan.
Anwar turut mengambil kesempatan dalam pertemuan itu untuk menyampaikan penghargaan terhadap komitmen kerajaan Bangladesh dalam membantu komuniti Rohingya yang berlindung di negara tersebut.
“Saya menghargai komitmen Bangladesh dalam membantu komuniti Rohingya. Malaysia kekal berpendirian bahawa penyelesaian terbaik ialah penghantaran pulang mereka secara selamat ke Myanmar.
“Kami turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang memerlukan pendekatan berteraskan dialog, keamanan dan saling menghormati,” kongsi Anwar dalam hantaran tersebut.
Dalam pada itu, pengkuhan kerjasama strategik dua hala melibatkan pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga serta kecerdasan buatan (AI) turut dibincangkan dalam pertemuan tersebut.
Mesyuarat dua hala yang berlangsung dalam suasana penuh hormat itu turut membincangkan kerjasama berkaitan ekonomi digital, pendidikan, pembangunan modal insan, pertanian, industri halal serta pengurusan tenaga kerja.
“Malaysia menzahirkan penghargaan terhadap Bangladesh sebagai rakan penting di Asia Selatan dan yakin masih banyak potensi kerjasama yang boleh diteroka demi kemajuan ekonomi serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
“Saya percaya kesepakatan yang dicapai hari ini akan terus memperkukuh hubungan Malaysia dan Bangladesh serta membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan.” Ujar Anwar yang juga Menteri Kewangan itu.
Sekadar info, jumlah perdagangan Malaysia dan Bangladesh mencecah RM12.18 bilion (AS$2.84 bilion) pada 2025 dengan nilai eksport Malaysia ke negara itu mencecah RM10.08 bilion (AS$2.35 bilion) yang didominasi produk petroleum.
Manakala import dari Bangladesh yang merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan itu pula membabitkan tekstil, pakaian dan kasut dengan jumlah perdagangan RM2.10 bilion (AS$500 juta).
Terdahulu, Tarique Rahman tiba di Malaysia malam tadi dalam rangka kunjungan rasmi selama dua hari atas jemputan Anwar sekali gus menjadi lawatan dua hala pertamanya ke luar negara sejak memegang jawatan pada Februari 2026.
Baca juga: Pelabuhan Bintulu sah diserah kembali kepada Sarawak, ini fakta yang ramai tak tahu