Gelombang bendera putih simbol kerajaan gagal sepenuhnya

Oleh KIM SYAZIE

Kempen kibarkan bendera putih yang tular sejak Isnin merupakan isyarat kegagalan ‘total’ kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Beliau berkata, kempen itu juga memperlihatkan bahawa rakyat sudah tidak mampu menanggung kesan pandemik Covid-19 dengan mengharapkan bantuan daripada kerajaan.

Bahkan katanya, kelembapan edaran dan agihan bantuan daripada kerajaan menyebabkan masyarakat semakin ditekan daripada pelbagai aspek seperti ekonomi dan juga kesihatan mental.

“Kadar kematian daripada kejadian bunuh diri melonjak naik sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah memakan masa hampir dua tahun.

“Hal ini bertambah buruk apabila pelan bantuan yang diumumkan kerajaan tidak menyentuh secara keseluruhan lapisan masyarakat.

“Kempen yang ditularkan ini adalah bukti yang jelas bahawa kerajaan gagal memberikan tumpuan terhadap kebajikan rakyat semasa pelaksanaan PKP,” tegasnya dalam satu kenyataan sejurus sidang medianya yang turut menyentuh tentang isu bendera putih.

Shazni menjelaskan, kempen bendera putih bertujuan untuk memberi sokongan dan bantuan keperluan harian kepada mereka yang terperangkap di rumah tanpa sebarang pendapatan.

Beliau turut menyifatkan kerajaan terlalu sibuk mencari pelbagai alasan dan peluang untuk terus mengekalkan kuasa tanpa ada sekelumit perasaan simpati terhadap masyarakat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Kami menyokong penuh kempen “Kibarkan Bendera Putih” ini dengan harapan bahawa kita dapat membantu individu-individu ataupun keluarga yang terkesan supaya mereka dapat terus bertahan sehingga negara keluar daripada masalah pandemik ini,” katanya lagi.