Kegiatan rasuah melibatkan projek kerajaan dipercayai didalangi pegawai kanan sebuah agensi kerajaan akhirnya terbongkar apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 13 individu dalam siasatan membabitkan wang sogokan lebih RM2.5 juta.
Antara yang ditahan ialah seorang pengarah dan bekas pengarah agensi kerajaan di utara Semenanjung yang dipercayai menerima habuan daripada kontraktor sebagai balasan mendapatkan projek secara lantikan terus dan sebut harga.
Menurut sumber SPRM, sindiket itu dipercayai menggunakan ejen kartel untuk mengawal pelantikan kontraktor sekali gus memonopoli projek-projek tertentu di agensi terbabit lapor Harian Metro.
Kesemua suspek terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita berusia antara 30 hingga 60-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak, kelmarin.
Mahkamah Majistret Ipoh kemudian membenarkan permohonan reman terhadap semua suspek bagi membantu siasatan.
Tiga individu termasuk dua penjawat awam dan seorang pengarah syarikat direman selama dua hari, manakala baki 10 lagi direman lima hari hingga Sabtu ini.
Siasatan awal mendapati kegiatan berkenaan dipercayai berlaku sejak 2024 hingga tahun ini.
Lebih mengejutkan, beberapa kontraktor yang ditahan mendakwa mereka dipaksa membayar komisen antara 10 hingga 15 peratus kepada orang tengah sebelum projek diluluskan.
SPRM turut melancarkan Op Drain di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Perak dengan 25 lokasi diserbu melibatkan rumah, pejabat serta premis agensi kerajaan.
Dalam operasi itu, SPRM menyita wang tunai kira-kira RM1.5 juta selain sebuah jam tangan mewah, dua kereta, motosikal berkuasa tinggi dan barang kemas bernilai hampir RM1 juta.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Baca juga: Pertemuan Anwar dengan Putin akan jamin kelangsungan bekalan minyak? Ini agenda dibawa PMX