Pertemuan Anwar dengan Putin akan jamin kelangsungan bekalan minyak? Ini agenda dibawa PMX

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Kazan untuk lawatan kerja selama dua hari bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Russia yang berlangsung dari 17 sehingga 18 Jun ini.

Persidangan tersebut akan memperkukuhkan kerjasama ASEAN-Rusia dalam mendepani ketidaktentuan global serta menjana manfaat ekonomi yang lebih besar kepada Malaysia.

Anwar menerusi perkongsian di platform Facebook memaklumkan bahawa satu pertemuan bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin juga dijadualkan berlangsung dalam rangka kunjungan tersebut.

Pertemuan penting tersebut dimanfaatkan Anwar yang juga Menteri Kewangan itu untuk menjamin kerjasama dua hala demi memastikan kelangsungan dan jaminan bekalan minyak ke Malaysia.

Berikut kami senaraikan agenda penting dibawa pemimpin nombor satu negara itu demi melindungi Malaysia daripada kesan krisis bekalan global yang kini sudah mula melanda negara jiran lain.

  • Mendapatkan persetujuan supaya Rusia menjamin penyaluran minyak dan diesel kepada Malaysia agar negara tidak berhadapan dengan masalah bekalan di masa hadapan
  • Langkah proaktif itu dapat menjamin bekalan untuk jangka panjang sekali gus mengelakkan krisis yang sudah mula melanda beberapa negara di rantau ASEAN sehingga terpaksa menutup stesen minyak.
  • Usaha ini membolehkan harga minyak domestik di Malaysia khususnya bagi RON95 kekal pada paras RM1.99 seliter iaitu antara kadar terendah di dunia hasil pengurusan ekonomi yang baik dan jalinan hubungan antarabangsa.
Sekadar info, sidang kemuncak persidangan ini turut menandakan ulang tahun hubungan ASEAN-Russia ke-35 yang mana kerjasama berkenaan mula terjalin di Kuala Lumpur pada 1991.

Selepas rangka kunjungan tersebut selesai, Anwar kemudian akan mengadakan lawatan rasmi ke Ashgabat, Turkmenistan atas jemputan Presidennya, Serdar Berdimuhamedow.

Lawatan ke Turkmenistan pula akan membuka peluang rundingan mendapatkan akses kepada zon telaga gas disifatkan antara yang terbesar di dunia menerusi jalinan kerjasama strategik melibatkan Petronas dengan negara itu.

“Saya juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin. Usai agenda di Kazan, saya kemudian akan ke Ashgabat, Turkmenistan bagi mengadakan lawatan rasmi atas jemputan Presiden Serdar Berdimuhamedow.

“Mohon doa teman-teman agar urusan saya dan delegasi Malaysia dipermudah lantas membawa manfaat dan pulangan terbaik kepada negara.” Pinta pemimpin terbabit dalam perkongsian tersebut.

Baca juga: Pertemuan ringkas tetapi berimpak besar? Ini yang dibincangkan Anwar dan Presiden Uzbekistan