Pertemuan ringkas tetapi berimpak besar? Ini yang dibincangkan Anwar dan Presiden Uzbekistan

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan ringkas namun bermakna dengan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev, ketika pesawat beliau membuat hentian di Tashkent sebelum meneruskan perjalanan ke Kazan.

Pertemuan itu dimanfaatkan kedua-dua pemimpin untuk bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh hubungan dua hala yang semakin berkembang dalam pelbagai sektor strategik termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, industri halal dan pelancongan.

Anwar berkata, Malaysia dan Uzbekistan turut membincangkan kepentingan mempererat kerjasama dalam memelihara serta mengangkat khazanah tamadun Islam dan tradisi keilmuan yang telah melahirkan tokoh-tokoh besar serta menyumbang kepada kegemilangan peradaban manusia.

“Pertemuan ini memberi ruang untuk kami bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh hubungan dua hala yang terus berkembang dalam pelbagai bidang strategik, termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, industri halal dan pelancongan,” kata Anwar.

Menurut beliau, kedua-dua negara juga melihat potensi besar dalam sektor tenaga, khususnya industri gas dan petroleum.

Sektor ini jelas mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi selain memperkukuh agenda keselamatan tenaga dan pembangunan mampan.

“Dalam sektor tenaga, kami melihat ruang yang luas untuk memperkukuh kerjasama, khususnya dalam industri gas dan petroleum, yang bukan sahaja berpotensi merancakkan pertumbuhan ekonomi, malah menyumbang kepada agenda keselamatan tenaga dan pembangunan mampan,” katanya.

Perdana Menteri turut menghargai komitmen Uzbekistan dalam memperkukuh hubungan dengan negara-negara ASEAN serta peranan negara itu yang semakin penting di rantau Asia Tengah.

Sebelum meneruskan penerbangan ke Kazan, Anwar mengambil kesempatan mengucapkan selamat maju jaya kepada Pasukan Kebangsaan Uzbekistan yang bakal memulakan saingan mereka di pentas FIFA World Cup 2026.

Beliau berharap hubungan persahabatan antara Malaysia dan Uzbekistan akan terus diperkukuh demi manfaat ekonomi, perdagangan dan pembangunan insan.

“Mudah-mudahan hubungan persahabatan ini akan terus diperkukuh, bukan sekadar demi manfaat ekonomi dan perdagangan.

“Tetapi juga untuk mengangkat martabat insan, memperkasa ilmu dan menjayakan pembangunan yang lebih adil serta inklusif,” ujar beliau.

Baca juga: PM Anwar syukur pertemuan dengan AT&S buahkan hasil, operasi di Kulim diperluas